Pembinaan lebih 500 unit rumah berkenaan yang dibangunkan kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), bakal didirikan di atas ta­nah seluas 21.4 hektar di sini.

Rumah tiga bilik tidur dan dua bilik air itu akan dijual kira-kira 30 peratus hingga 50 peratus le­bih rendah daripada harga pasaran di Gerik yang umumnya berada pada harga RM220,000 sebuah.

Zambry berkata, kerajaan komited untuk menyediakan penempatan untuk golongan berpendapatan rendah.

“Permintaan terhadap rumah sentiasa tinggi walaupun terdapat sumber yang terhad. Namun, kita adalah antara negara yang menyediakan pelbagai bentuk perumahan kepada rakyat.

“Antaranya ialah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Di peringkat negeri, kita juga mempunyai Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) di bawah Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR),” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah projek tersebut dekat Kuaters JKR Gerik Base Camp, di sini semalam.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk S. Thangasvari; bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Mohd. Tajol Rosli Ghazali; Exco kerajaan negeri dan Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman.

Kerajaan negeri melalui LPHP ketika ini membangunkan 10 projek Rumah Amanjaya melibatkan 1,374 buah rumah di Felcra Nasaruddin, Mukim Ulu Bernam, Mukim Slim, Mukim Selinsing, Lekir, Parit Buntar, Sungai Manik, Changkat Jong dan Gerik.

Selain projek Rumah Amanjaya, LPHP juga membangunkan Projek Khas Perumahan Perwira Perak yang sedang didirikan di Daerah Batang Padang (596 unit), Daerah Perak Tengah (1,039 unit) dan Daerah Manjung (304 unit).