Roti kapai adalah penganan atau pemanis mulut masyarakat di kawasan itu yang begitu digemari terutama dalam kalangan orang-orang lama.

Roti kapai berbentuk bulat, warnanya putih dan agak keras juga dikenali sebagai biskut tawar dalam kalangan orang tua.

Roti ini sesuai dibuat pengat mahupun serawa memandangkan ia agak keras dan tidak sesuai untuk dicicah dengan air.

Seorang pengusaha gerai makan, Zulkiflie Shafie, 53, berkata, roti kapai diperbuat daripada tepung gandum, tepung sagu, tepung ubi dan diuli menjadi doh.

“Doh itu kemudian akan dibentuk bulat dan dibakar bagi menghasilkan biskut atau di sini lebih dikenali sebagai roti.

“Roti kapai mempunyai tekstur yang keras dan tidak sesuai untuk dimakan begitu sahaja atau dicicah dengan air kerana terlalu keras,” katanya.

Menurut Zulkiflie, roti itu akan dibuat pengat kerana ia menjadi lebih lembut dan lemak manis apabila dicampur santan serta gula.

“Roti ini akan dibuat pengat mengikut citarasa masing-masing tetapi kebiasaannya ia dijadikan sebagai menu minum petang bagi sesetengah penduduk di kawasan Bota dan Parit terutama bagi golongan tua,” katanya.

Zulkifli berkata, roti kapai boleh dibeli di kedai-kedai di kawasan pekan Parit dan selepas itu boleh dimasak pengat.

“Kita tidak perlu lagi membuat sendiri roti kapai ini ke­rana ia memang ada dijual, namun tidak semua kedai menjualnya.

“Ini lebih memudahkan kita untuk terus masak pengat roti kapai tanpa perlu menunggu lama dan melalui pelbagai proses,” katanya.

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan generasi muda sekarang tidak mengenali menu istimewa orang dahulu kala itu.

“Jika dulu menu ini begitu po­pular ketika bulan puasa, namun kini jarang dibuat dan tidak mustahil golongan muda tidak tahu dan tidak pernah merasai menu ini.

“Makanan seumpama ini sepatutnya diperkenalkan kepada ge­nerasi muda agar ia terus dikenali dan kekal sepanjang masa dan bukan hanya dikenali sebagai menu ‘orang lama’ sahaja.

“Jika sesiapa yang pernah makan pengat roti kapai pasti akan menyukai menu ini dan akan mencarinya seterusnya,” katanya yang mengusahakan gerai makan KC Zul Changkat Sodang dekat sini.