Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd. Yazid berkata, Masjid Al-Khairiah di Kampung Lembah dengan nilai projek RM3 juta telah diluluskan pembinaannya oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi semasa Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Menurutnya, pembinaan masjid tersebut kini di peringkat mengeluarkan tender Jabatan Kerja Raya (JKR) dan bangunan baharu dibina di atas tapak masjid lama.

Beliau berkata, sebuah lagi masjid iaitu di Kampong Ulu Piol, Manong berharga lebih RM2 telah pun diluluskan oleh kerajaan dan kini di peringkat mereka bentuk pelan manakala kerja pembinaan dijangka bermula tahun depan.

“Pembinaan kedua-dua ba­ngunan masjid baharu ini menyelesaikan masalah masjid uzur dan tidak mampu menampung jumlah jemaah semakin bertambah,” katanya dalam majlis penyerahan lembu korban Hari Raya Aidiladha di Mini Arena, Chandan Putri, di sini baru-baru ini.

Mastura menyerahkan 34 ekor lembu kepada wakil masjid dan surau.

Yang turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Datuk Shahrum Abdul Malik.

Menurutnya, sebuah dewan sedang dalam pembinaan di Bukit Chandan yang bernilai RM2 juta.

Katanya, projek tersebut telah dimohon arwah suaminya, Allahyarham Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad ketika menjadi Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

“Dewan ini dapat memuatkan 800 orang dan dilengkapi gelanggang badminton dan memberi kemudahan penduduk mengadakan apa-apa majlis memandangkan di kawasan tersebut tidak mempunyai kemudahan demikian,” Katanya.

Katanya, sebuah lagi dewan sedang dibina di Chandan Put­ri yang bernilai RM2 juta memandangkan di kawasan itu belum mempunyai kemudahan dewan.