Bantuan sumbangan itu disalurkan kepada empat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) iaitu PPK Bota, PPK Kuala Kurau, PPK Bagan Tiang/Parit Buntar dan PPK Tanjung Piandang.

Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Noorazmi Yahya berkata, bantuan itu diharap dapat meringankan beban petani bagi membolehkan mereka memiliki mo­dal untuk mengusahakan kembali sawah masing-masing.

Katanya, setiap pesawah menerima bantuan sebanyak RM817 sehektar bagi bendang yang terjejas.

"Bantuan ini bagi membantu pesawah meneruskan semula tanaman padi untuk menampung keperluan makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan tersebut di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Piandang dekat sini semalam.

Majlis disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Dalam pada itu, Abdul Puhat berkata, satu kajian semula akan dilakukan bagi membolehkan pemindahan air dialirkan dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah bagi memastikan pengairan tanaman padi di daerah Kerian tidak terjejas.

Tambah beliau, kajian itu juga antara lain turut mencadangkan pembinaan sebuah kolam takungan untuk penyimpanan air supaya limpahan air dari Tasik Bukit Merah tidak akan mengalir ke laut, sebaliknya digunakan semula bagi penanaman padi.