Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tajaan tersebut daripada pihak swasta dan bukannya daripada kerajaan negeri atau syarikat milik kerajaan (GLC).

Menurutnya, ini berbeza berbanding pada musim-musim sebelum ini yang mana kerajaan negeri dan GLC mengeluarkan tajaan kepada kedua-dua pasukan melebihi RM30 juta.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) berkata, peruntukan tersebut mengambil kira aksi skuad The Bos Gaurus dalam play-off Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.

“Pasukan Perak akan beraksi di peringkat antarabangsa dan perbelanjaannya kita buat perkiraan sampai Perak ke final kejohanan antarabangsa tersebut.

“Banyak pihak swasta memberikan sumbangan dan kerajaan negeri dan GLC negeri tidak perlu mengeluarkan peruntukan yang banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program temu bual di Perak FM bersama pemain E-Sport FIFA 18, Azroy Adyana Tajuddin atau lebih dikenali sebagai Nia Adyana di sini hari ini.

Mengenai persiapan pasukan Perak, Ahmad Faizal berkata, jurulatih, Mehmet Durakovic berpuas hati dengan para pemain skuad kali ini.

Menurutnya, Pafa juga sudah menghantar senarai 25 pemain skuad Perak untuk didaftarkan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Kita sudah mempunyai pemain yang cukup dan saya yakin Perak yang dibarisi sebahagian besarnya pemain muda mampu pergi jauh,” katanya. - UTUSAN ONLINE