Pengerusi Jawatankuasa Pela­buran dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, data terkini yang diterima daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) tersebut me­nunjukkan sebanyak RM235.7 juta merupakan pelaburan tempatan manakala RM14.1 juta adalah pelaburan asing.

Menurutnya, sebanyak lima buah projek menyediakan peluang pekerjaan kepada seramai 371 orang pula telah diluluskan dalam tempoh sama.

“Jumlah pelaburan ini agak sedikit ber­kurangan berbanding tempoh sama pada tahun lalu. Pengurangan ini disebabkan kebanyakan pelabur mengambil sikap 'tunggu dan lihat' ekoran daripada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang diadakan Mei lalu.

“Bagaimanapun, jumlah ini dijangka meningkat pada suku tahun berikutnya berdasarkan dasar kerajaan negeri yang mesra pelabur se­perti pengurangan cukai, penyediaan per­khidmatan yang lebih cekap dan berkesan oleh jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan, penyedia­an infrastruktur yang lengkap terma­suk pe­nyaluran paip gas di Lembah Kinta serta pembukaan lebih banyak kawasan perindustrian baharu,” ­katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Sham Mat Sahat (BN-Alor Pongsu) dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang DUN Perak Ke-14 di sini, hari ini.

Tambah Mohammad Nizar, dalam meneruskan legasi Perak sebagai lubuk pelaburan, pihak­nya menubuhkan Majlis Penasihat Pelaburan dan Perindustrian khusus bagi merangka arah tuju sektor perindustrian di samping memberi idea dan input yang berguna dan praktikal untuk negeri.

Pada masa sama, kata beliau, kerajaan negeri akan memperkasakan kembali taman-taman industri sedia ada dan akan melihat potensi mewujudkan beberapa lagi sejajar dengan kehendak piawaian ber­taraf antarabangsa pada masa depan.

“Alhamdulillah hasil usaha tersebut, dalam tempoh tiga bulan selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih ke­pimpinan kerajaan negeri, terdapat banyak pelabur datang kembali untuk melabur.

“Antara yang telah berbincang dengan kerajaan negeri dan Invest Perak adalah pelabur dari China, Jepun, Itali, Singapura, Thailand, Kanada dan United Kingdom,” katanya.