SHAMSURI JEMHARI menunjukkan lalat yang menghurung cawan minumannya di PPMS Batu 6 Beriah, Bukit Merah, Bagan Serai, Perak, semalam.

Kehadiran lalat yang begitu banyak bukan sahaja menyebabkan mereka resah, malah bimbang boleh mengancam kesihatan.

Seorang penduduk, Shamsuri Jemhari, 52, berkata, masalah berkenaan semakin buruk apabila makin banyak kawasan penternakan ayam persendirian di buka di kawasan berkenaan.

Katanya, sehingga kini dianggarkan terdapat antara 20 hingga 30 kawasan penternakan dibuka di kawasan Changkat Lobak sehingga ke Bukit Merah dekat sini.

“Penduduk menjadi sasaran lalat terutamanya selepas hujan. Lalat-lalat ini menghurung makanan dan minuman yang disediakan sama ada di rumah, gerai makan mahupun majlis kenduri kahwin.

“Penduduk tidak tahu hendak buat apa. Kalau tutup pun dengan surat khabar, pasti ada dua, tiga ekor terlepas dan berenang-berenang dalam minuman serta makanan kami. Rasa rimas sangat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jamilah Hassan, 35, dari Changkat Lobak pula berkata, minggu lalu anaknya terpaksa dimasukkan ke hospital Parit Buntar akibat asma kerana sukar bernafas.

“Paling ketara apabila selepas hujan dan ayam tersebut dibawa keluar dari reban untuk dibawa ke tempat lain. Lalat berterba­ngan dari tempat ayam ke kampung kami. Akibatnya ramai antara kami terutama anak-anak alami sakit-sakit,” katanya.

Seorang peniaga makanan yang dikenali sebagai Ani, 30, berkata, masalah lalat amat me­runsingkannya kerana lalat akan menghurung makanan dan minuman pelanggan.

“Jaga macam mana pun, pasti ada lalat yang dapat masuk ke dalam makanan. Pelanggan pula merungut dan tiada selera hendak makan. Jika ada kenduri, memang malu dengan saudara-mara,” katanya.