Dalam pertandingan yang diadakan di Moscow, Rusia pada 22 Julai lalu itu, Reeno Chin berjaya menewaskan lebih 1,000 peserta dari 20 negara yang mengambil bahagian.

Menurut ibu Reeno, Wong Pui Si, 41, anaknya yang merupakan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Seri Botani itu mengekalkan kemenangannya dalam pertandingan sama tahun lalu di negara ini.

Katanya, meskipun berhadapan dengan keadaan kesihatan tidak menentu termasuk demam dan keracunan makanan, anak­nya masih mampu mempamerkan kebolehannya sehingga muncul juara.

“Kemenangan Reeno ini sememangnya mengejutkan kerana dia hanya ke Aloha Mental Arithmetic seminggu sekali dan pada setiap sesi ia melibatkan pembelajaran selama dua jam sahaja.

“Saya sendiri tidak pernah memaksa dia untuk membuat kira-kira (ulang kaji) cuma sebulan sebelum menyertai pertandingan itu baharu saya beri perhatian padanya dengan mencetak pelbagai soalan untuk dia selesaikan,” katanya selepas mengunjungi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini hari ini.

Kunjungan Pui Si bersama suami, Chin Kah Hwong, 41, dan dua anak mereka iaitu Reeno dan Reeyes Chin, 12, adalah sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan negeri yang memberi so­kongan dan sumbangan kepada mereka untuk menyertai pertan­dingan tersebut.

Pui Si yang juga seorang suri rumah berkata, bakat Reeno dan abangnya itu mula dikesan setelah mereka mula menunjukkan minat dalam bidang matematik sejak berusia lima tahun.

Menurutnya, dia dan suami tidak pernah memberi tekanan kepada anak-anak sebaliknya memberi pilihan untuk kanak-kanak itu mengasah kemahiran pada waktu yang sesuai.

“Reeno selalu ulang kaji sendiri dan kami tidak pernah memaksa dia. Sebulan sebelum terbang ke Moscow, baharu saya bantu dia.

“Dalam pertandingan itu, Reeno perlu menjawab 70 soalan dalam tempoh lima minit. Tidak sangka dia mampu menjawab sepantas itu dalam keadaan dia tidak sihat,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri berbangga dengan pencapaian kanak-kanak itu dan diharap ia menjadi motivasi dan permulaan yang baik kepada rakyat negeri ini.

“Saya berharap kejayaan ini menjadi contoh kepada pelajar lain untuk terlibat dalam aktiviti yang mampu menjulang nama negeri ini di peringkat dunia,” katanya.