Wanita berkenaan, Zawanie Ab. Rahman, 32, berkata, anaknya, Nur Dynas Hamidah Abdul Qayyum diserahkan kepada sepasang suami isteri pada 18 September lalu, tiga hari selepas dia melahirkan anaknya di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Menurutnya, dia mahukan semula anaknya setelah curiga tentang latar belakang ibu bapa angkat bayinya yang tinggal di daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

Katanya, pasangan suami isteri itu yang masing-masing berusia 37 dan 32 tahun juga tidak membenarkan dia bertemu anaknya.

“Saya bimbang terhadap keselamatan anak saya setelah mendapat maklumat mengenai latar belakang pasangan suami isteri tersebut yang meragukan.

“Dalam usaha mendapatkan semula Nur Dynas Hamidah, saya membuat lima laporan polis selain merujuk kes ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun belum berhasil,” katanya dalam sidang akhbar di sini kelmarin.

Menurutnya, dia menyerahkan ba­yinya kepada pasangan suami isteri tersebut menerusi seorang rakan ba­iknya kerana tidak mampu menjaga anaknya yang baru dilahirkan itu.

Katanya, ketika menyerahkan anaknya, pasangan itu masing-masing mendakwa bekerja sebagai peguam dan doktor, namun setelah disiasat didapati lelaki yang menjadi bapa angkat kepada anak perem­puannya hanya bekerja biasa, manakala isterinya suri rumah.

Zawanie turut mendakwa diminta membuat bayaran beribu ringgit oleh pasangan suami isteri tersebut jika mahukan semula anaknya itu.

“Saya rindukan Nur Dynas Hamidah apatah lagi tidak pernah melihat wajahnya sejak diserahkan kepada keluarga angkat. Saya berharap pihak berkenaan memberi bantuan mendapatkan semula anak saya,” katanya.