Tradisi yang dilakukan sejak dahulu itu turut menarik minat pelbagai golongan masyarakat di kampung tersebut.

Paling menarik, mereka yang terlibat dalam gotong-royong tersebut akan disajikan dengan menu istimewa, pulut kukus oleh tuan rumah terlibat.

Seorang penduduk, Hassan Mohamad, 50, berkata, berbeza di tempat lain, pulut kukus menjadi juadah istimewa yang disajikan di kampung tersebut untuk acara gotong-royong majlis perkahwinan.

Katanya, pulut tersebut disajikan tuan rumah kepada penduduk pada acara ‘menyiang daging dan mengupas bawang’ iaitu sehari sebelum majlis besar berlangsung.

“Juadah ini (pulut kukus) memang tak ada di tempat lain. Hanya di kampung ini sahaja kami menyajikan dalam acara majlis perkahwi­nan.

“Selalunya juadah ini memang ditunggu-tunggu oleh semua. Pulut ini apabila masak akan dihidangkan panas-panas dan dimakan bersama inti kelapa muda dan sambal ikan bilis,” katanya yang pakar memasak pulut kukus.

Kata Hassan, selalunya sebanyak 20 kilogram hingga 30 kilogram pulut akan dikukus pada acara tersebut.

Katanya, sebelum dikukus, pulut akan direndam dan disejatkan oleh jiran berdekatan pada pagi acara berlangsung.

“Pulut yang telah disejatkan akan dikukus sehingga masak oleh golongan lelaki sebelum dikeluarkan semula untuk dikepal dan digaul dengan santan oleh golongan wanita.

“Pulut ini kemudiannya akan dikukus semula sehingga masak,” katanya.

Penduduk, Roslan Hanafiah, 54, berkata, lebihan pulut itu kemudiannya akan disajikan sebagai juadah sarapan pagi untuk keluarga pengantin pada keesokannya.

“Sekali sekali menikmati pulut kukus ini memang sedap sekali. Tempat lain tak ada.

“Di gerai makan pun jarang ada pulut kukus ini. Jadi kalau nak merasa kenalah pergi ke majlis perkahwinan di Kampung Parit Tanjung Piandang,” katanya.

Penggemar pulut kukus, Jamil Azomi Hasan pula berkata, juadah warisan itu sudah menjadi tradisi penduduk di kampung tersebut sejak zaman dahulu.

“Selain dapat meneruskan tradisi tersebut, aktiviti ini juga mendekatkan dan mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan penduduk kampung ini,” katanya.