Selain itu, tarikan utamanya ialah keindahan cahaya biru yang menerangi pantai pulau itu pada waktu malam yang dikatakan dari hasil hidupan laut phytoplankton atau lebih dikenali sebagai blue tears atau blue sands.

Pulau Sembilan mempunyai sembilan buah pulau unik antaranya Pulau Lalang, Pulau Agas, Pulau Rayong, Pulau Nipis, Pulau Rumbia, Pulau Buluh dan Pulau Sagu.

Pulau-pulau berkenaan tidak berpenghuni dan sebelum ini ia dibuka untuk aktiviti perkhemahan tetapi ditutup sejak 1 April tahun lalu disebabkan berlaku kerosakan ekosistem alam yang terdapat di pulau berkenaan.

Pemantauan terus dilakukan untuk memastikan pulau ber­kenaan bebas daripada sebarang pencemaran bukan sahaja pencemaran alam sekitar tetapi juga pencerobohan atau pembinaan infrastruktur yang tidak dibenarkan seperti calet atau tokong.

Orang Besar Jajahan (OBJ) Bagan Datuk, Toh Seri Lela Paduka Dr. Khalid Ismail yang meninjau keadaan terkini pulau tersebut baru-baru ini berkata, usaha memelihara Pulau Lalang dan lain-lain pulau bertepatan dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya memastikan pulau tersebut bebas daripada sebarang pencerobohan.

Menurutnya, tinjauan selama sehari itu mendapati masih terdapat binaan tokong di Pulau Lalang dan Pulau Rumbia walau sebelum ini dimaklumkan bahawa binaan tersebut telah dirobohkan.

Katanya, lantaran itu beliau telah mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Bagan Datuk supaya menghalang mana-mana pihak daripada membina tokong di pulau berkenaan.

“Arahan juga dikeluarkan untuk menghalang pihak-pihak tertentu yang melepaskan babi di pulau ini bagi tujuan agar orang Melayu takut untuk memantau pulau berkenaan.

“Langkah pemantauan ini dipertingkatkan supaya pulau ini bebas daripada pencerobohan selain menghalang pembinaan calet haram,” katanya.

Menurut Khalid, atas titah perintah Sultan Perak, pengusaha haram tersebut diminta merobohkan calet, pondok dan tokong di pulau tersebut.

Beliau berkata, selain itu aktiviti menarah dan menebang pokok dihentikan serta merta dan kontraktor yang telah berbuat demikian diminta menanam semula pokok yang telah ditebang.

Katanya, kerosakan di Pulau Sembilan disebabkan aktiviti komersial yang keterlaluan sehingga menjejaskan produk-produk pelancongan dan alam semula jadi di pulau itu.

“Dalam tinjauan hari ini, nampak­nya pokok-pokok dan hutan-hutan mulai pulih dan diharapkan keindahan Pulau Sembilan akan kembali seperti sediakala,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri dan agensi-agensi pelancongan diminta memberikan kerjasama menjaga keindahan semulajadi di pulau tersebut.

“Untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk, pemantauan perlu dilakukan dari semasa ke semasa agar kawasan tarikan ini sentiasa dipelihara,” katanya.