Pertandingan itu disertai 11 buah rakit yang mewakili 11 pa­sukan yang bertungkus-lumus sejak menyiapkan rakit sejak dua bulan lalu.

Mereka menghasilkan rakit yang diperbuat daripada buluh dan kayu serta barangan terbuang seperti bekas telur, botol plastik, tin biskut, batang lalang dan sebagainya yang dihias menarik.

Karnival tiga hari itu dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti seperti larian dan berbasikal, pameran agensi-agensi kerajaan, pertunjukan ular berbisa, karnival jualan, gerai-gerai makanan dan minuman selain celoteh penga–cara jemputan Faizal Ismail dan Amir Raja Lawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim berkata, Pesta Rakit yang bertemakan Tahun Melawat Perak 2017 itu mendorong peserta mencari idea dengan pelbagai kretiviti menarik untuk memenangi hati juri.

Katanya, beliau gembira kera–na karnival kali ini mendapat sambutan yang amat luar biasa termasuk pengunjung luar negara.

“Jika suatu masa dahulu, rakit digunakan sebagai pe­ngangkutan air tetapi kini ia telah menjadi nostalgia dan kita mahu mengangkatnya supaya ia dihidupkan semula dengan cara lebih bermakna,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Karnival tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Datuk Jamal Nasir Rasdi.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman dan ADUN Temengor, Salbiah Mohamed.

Karnival kali ini dianjurkan Majlis Daerah Pengkalan Hulu (MDPH) dengan kerjasama Pejabat Daerah Pengkalan Hulu, Pejabat Dewan Undangan Negeri Pengkalan Hulu, Tourism Perak dan Tourism Malaysia.

Menurut Aznel, karnival itu turut mempromosikan Pengkalan Hulu yang terletak berhampiran sempadan dengan Thailand sebagai destinasi pelancongan dan persinggahan untuk berehat serta riadah.

Katanya, Pengkalan Hulu menjadi tarikan pelancong ke­rana destinasinya di kawasan strategik antara Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Ia juga merupakan pintu masuk pelancong asing ke negara ini melalui sempadan Thailand-Malaysia yang jaraknya hanya 10 kilometer ke sempadan antarabangsa.

“Kegiatan pelancongan ini juga akan memperkasakan ekonomi penduduk tempatan serta peniaga kecil yang menjual produk seperti kraf tangan dan makanan tempatan,” katanya.

Sementara itu, rakit berhias berbentuk kubah Masjid Ubudiyah, Kuala Kangsar yang direka oleh pasukan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Selarong di­nobatkan sebagai johan dalam pertandingan rakit berhias.

Kemenangan itu memboleh­kan pasukan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 manakala naib johan milik JKKK Kuak Luar dengan rekaan rakit berbentuk kepala kereta api pertama pada tahun 1885 dan mereka menerima hadiah RM4,000.

Tempat ketiga dimenangi oleh pasukan JKKK Simpang Pulai untuk menerima hadiah wang tunai RM2,000 manakala rakit berhias rekaan JKKK Kampung Tasek yang direka oleh masyarakat Siam pula muncul pemenang ka­tegori persembah–an terbaik dan membawa pulang wang tunai RM1,000.

Turut serta dalam pertanding–an itu ialah pasukan dari JKKK Kampung Air Panas, Kuak Hulu, Kelian Intan, Felda Nenering, Persatuan Belia Kampung Kuak Luar dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sri Iskandar.

Pengerusi JKKK Kampung Selarong, Abu Bakar Md. Aris berkata, kemenangan mereka di luar jangkaan kerana saingan rekaan rakit-rakit lain amat hebat.

“Tahun ini adalah rezeki kami pula, setelah lebih sebulan mencipta, kos sebanyak RM3,000 dengan menggunakan tenaga anak-anak muda kampung, akhir­nya rakit kami berjaya bergelar juara,” katanya.