Pengurus Besar Koloni Karyawan Amanjaya (Port), Zamari Muhyi berkata, pertandingan yang disertai anak muda itu hanya mengkehendaki mereka untuk mengambil gambar de­ngan menggunakan telefon pintar atau tablet.

“Ini merupakan kali ketiga penganjurannya selepas yang pertama diadakan pada tahun 2017 dengan berkonsepkan pe­lancongan. Pada September ta­hun lepas pula, kita meng­angkat konsep Food Attacked ber­sempena dengan penganjuran ‘Noodle Festival’.

“Namun, pada kali ini, kita cuba menonjolkan kuih tradisional Perak dan ia mendapat penyertaan menggalakkan daripada rakyat pelbagai kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan maj­lis penyampaian hadiah bagi pertandingan tersebut yang diadakan dengan berkonsepkan minum petang di dalam taman sambil diiringi persembahan buskers di Port, di sini semalam.

Hadiah utamanya dimenangi oleh Muhammad Syafiq Zainal yang mengambil gambar kuih bahulu di Pasar Pagi Kamunting de­ngan menggunakan telefon bimbit Huawei Y9, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM500 berserta sijil penyertaan.

Dalam pada itu, Zamari ber­kata, pertandingan fotografi itu yang turut mendapat soko­ngan penuh daripada Tourism Perak, Tourism Malaysia Nege­ri Perak dan Geopark Lembah Kinta, antara lain menjadi medan penggalakan seni melalui fotografi selain mengasah bakat dalam kalangan anak Perak.