Projek rangkaian paip gas asli bernilai RM180 juta sepanjang 140 kilometer merangkumi dari Ayer Tawar ke Bercham itu sebagai rangkaian utama serta dari Lahat ke Simpang Pulai sebagai rangkaian sisian, dibiayai bersama oleh kerajaan Persekutuan (RM50 juta), kerajaan ne­geri (RM10 juta) dan Gas Malaysia (RM120 juta).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyifatkan pelaksanaan projek tersebut sebagai satu detik bersejarah dan impian besar buat kerajaan ne­geri yang amat mengharapkan ia menjadi suatu kenyataan.

“Penyediaan kemudahan ini bakal menjadi ‘game changer’ yang dapat menggalakkan perkemba­ngan industri di Lembah Kinta serta di lain-lain kawasan perindustrian termasuk memangkin pertumbuhan ekonomi negeri di Wilayah Pembangunan Perak Selatan dan Bagan Datuk.

“Pembinaan rangkaian paip ini juga dapat merapatkan jurang perbezaan yang berlaku di kawasan tengah dan selatan Perak. Dengan adanya saluran gas asli masuk ke Lembah Kinta, jaluran itu dapat disambung ke Perak Selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembinaan sistem pengagihan gas asli tersebut di Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Perdaga­ngan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Pengerusi Gas Malaysia, Datuk Hasni Harun.

Terdahulu, Zambry ketika berucap pada majlis tersebut berkata, kerajaan negeri sebelum ini merasakan seolah-olah seperti dianaktirikan kerana tidak diluluskan untuk mendapatkan kemudahan tersebut.

“Kita mempunyai peranca­ngan untuk membangunkan Perak serta hendak bersaing seperti ne­geri-negeri lain. Ada pelabur ingin melabur lebih RM2 bi­lion di sini tetapi tidak jadi kerana kita tidak mempunyai kemudahan (gas asli di Lembah Kinta),” katanya.

Sementara itu, Hasni berkata, projek pembinaan sistem pe­ngagihan gas asli di Lembah Kinta telah dimulakan pada akhir tahun 2016 dengan 31 kilometer rang­kaian paip siap dibina.

“Sepanjang 59 kilometer lagi sedang rancak dibina dan 50 kilometer lagi akan disiapkan pada suku keempat tahun 2019,” katanya.