Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminuddin Md. Desa berkata, setakat ini restoran itu telah dibuka berhampiran Bulatan Amanjaya dan sebuah lagi bakal dibuka di Kompleks Silve­ritage, Medan Gopeng.

Katanya, restoran berhampiran Bulatan Amanjaya itu beroperasi dalam rumah tradisional Perak iaitu Rumah Kutai.

“Ini merupakan usaha PKNP bagi membangunkan industri pe­lancong­an di negeri ini sekali gus memperkenalkan masakan tempatan kepada pelancong asing. Selain itu, ia juga memberi peluang kepada masyarakat untuk menjalankan francais restoran ini.

“Restoran Labu Sayong Signature yang kedua adalah di Kompleks Silveritage yang kini sedang dibina dan setiap cawangan perlu ada kelainan tersendiri yang akan dijadikan sebagai penanda aras,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Restoran Labu Sayong Signature yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor ne­geri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi restoran tersebut di Rumah Kutai bukan sahaja bertujuan menarik minat pelancong untuk melihat seni bina tradisional itu malah dapat merasai sendiri suasana di dalamnya.

“Rumah Kutai ini adalah pe­lengkap kepada Bulatan Amanjaya dan kita membuat keputusan mendirikannya sebagai ta­rikan kepada pelancong untuk menyaksikan rumah tradisional Perak.

“Dengan wujudnya tiga bu­ah rumah Melayu ini, kita juga membuat keputusan untuk meng­­operasikan sebagai sebuah restoran.

“Menerusi kaedah ini, pe­ngun­jung yang hadir bukan sahaja melihat seni bina rumah tradional ini malah berpeluang merasai duduk di dalamnya sambil dihidangkan dengan menu tradisional Perak,” katanya.

Terdahulu pada majlis sama turut berlangsung penyampai­an hadiah kepada pemenang pertandingan Sayong Seni World of Wonders (WOW) anjuran PKNP yang bertujuan mempromosikan Perak sebagai destinasi pelancongan dan labu sayong sebagai kraftangan tradisional negeri ini.