Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, saranan itu juga perlu dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran ikan yang diternak pada masa ini.

“Mereka boleh laksanakan ini sebagai satu aktiviti tambahan dan ia boleh dilakukan pada sepanjang musim. Kita mahu bekalan ikan dari laut dan bekalan ikan yang diternak sama rata iaitu 50-50,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Touch Point Jabatan Perikanan negeri 2017 di Dataran Amanjaya Lekir di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim dan Pengarah Perikanan negeri, Dr. Bah Piyan Tan.

Menurut Tajuddin, bekalan ikan akan berkurangan dan har­ganya pula melambung tinggi pada musim nelayan tidak turun ke laut iaitu pada bulan November dan Disember.

“Sekiranya mereka (petani dan pesawah) menceburkan diri dalam akuakultur, bekalan ikan akan mencukupi dan pembeli tidak akan terbeban dengan kenaikan harga,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas me­ngenai program bantuan touch point, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM338,500 kepada 629 penternak akuakultur dan nelayan negeri perak pada tahun ini.

“Seramai 74 penternak akua­kultur menerima bantuan makanan ikan sebanyak RM1,500 seorang dan 555 nelayan darat dan pantai menerima bantuan peralatan keselamatan menangkap ikan seperti tong insulasi, jaket keselamatan dan pukat.

“Melalui bantuan touch point ini, kerajaan menyasarkan pe­ningkatan pendapatan kumpulan sasar meningkat sekali gus menyumbang kepada peningkatan pengeluaran ikan sebanyak 10,600 metrik tan setahun,” katanya.