Kawasan yang melibatkan beratus hektar tanaman itu ialah di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjong Piandang, PPK Kuala Kurau, PPK Bagan Tiang dan Parit Buntar.

Seorang petani, Hussain Hamid, 79, berkata, 2.8 hektar bendang melibatkan 100 petak sawah yang diusahakannya kini dipenuhi dengan kemunculan padi angin.

Hussain yang merupakan ahli PPK Kuala Kurau berkata, dia sebelum ini pernah beberapa kali mengupah orang untuk meracun petak sawah yang diserang padi angin, namun usaha itu tidak berhasil.

“Kami berusaha sedaya upaya meracun dan mengerat padi angin bagi memastikan ia tidak merebak ke petak sawah lain namun usaha itu masih tidak berkesan.

“Boleh dikatakan setiap hari kami ke sawah dan me­lakukan perkara sama dan kini kami runsing apabila kos racun pun sudah semakin meningkat dan kami sebagai petani sudah tidak mampu lagi menggunakannya,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, memandang­kan tanaman banyak rosak akibat padi angin, pendapatan petani merosot teruk apabila bukan sahaja sukar untuk mendapatkan pendapatan tiga tan metrik malah untuk mengumpul satu tan metrik juga amat sukar.

“Padi angin apabila masak bersama padi kebal, ia hendaklah dipotong menggunakan jentuai padi. Gegaran pada jentuai padi itu akan menyebabkan padi angin gugur daripada tangkai dan jatuh ke tanah.

“Saya rasa serangan kali ini paling kuat jika dibandingkan tahun-tahun sebelum ini. Jika hendak dilihat pada 20 tahun lalu semasa masih lagi mengamalkan tanaman secara tradisional, masalah seperti ini jarang berlaku,” katanya.

Sementara itu, ahli PPK Bagan Tiang, Shariff Ibrahim berkata, masalah padi angin adalah berpunca daripada masalah air yang berkurangan di petak bendang pada setiap awal kerja-kerja sawah.