Ini dibuktikan oleh seorang petani muda, Muizzudin Din, 24, yang mengusahakan kebun sayur di tanah seluas 0.8 hektar di Padang Asam dekat sini sejak lebih dua tahun lalu.

Menurutnya, hasil kerja ke­ras dan usaha bersungguh-sung­guh dalam bidang itu, dia mampu meraih pendapatan lumayan sebulan bergantung kepada pengeluaran hasil setiap musim.

“Semua ini adalah rezeki yang dikurniakan atas usaha saya selama ini. Saya merasakan bidang pertanian juga mampu memberikan pendapatan lumayan jika kena dengan caranya.

“Apa yang penting, ia diusa­hakan secara besar-besaran, mengikut teknik pertanian terkini dan jenis tanaman juga hendaklah mengikut permintaan semasa di pasaran bagi mengelakkan berlakunya lambakan sayuran. Ini memerlukan setiap petani memahami permintaan semasa,” katanya.

Menurut bekas pelajar Kolej Komuniti Lubuk Merbau dalam jurusan Teknologi Elektrik itu, dia menyewa tapak kebun sayur tersebut untuk tanaman peria, timun, kacang panjang dan cili.

Katanya, dia mendapat bim­bingan secara formal daripada Pejabat Pertanian seperti cara penanaman, pembajaan, pe­nga­walan daripada serangga perosak dan penyakit lain.

“Pejabat Pertanian juga memberi bantuan benih, baja, racun dan khidmat nasihat dari masa ke semasa bagi membantu meningkatkan lagi hasil pertanian dan memastikan setiap pokok yang ditanam tumbuh subur.

“Pengawasan berterusan ini juga bagi membantu petani muda tidak ketinggalan dalam mengikuti teknik pertanian terkini,” katanya.

Tambahnya, dia merancang untuk memperluas lagi kebun­nya dan berharap terdapat ta­nah lain yang boleh diusahakan memandangkan kini hanya menyewa tanah untuk menjadi pekebun sayur.

“Saya juga berazam untuk menyahut cabaran kerajaan untuk melaksanakan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM). Saya yakin berdasarkan pengalaman yang diraih sepanjang mengusahakan kebun sayur dapat membantu saya ke arah itu,” katanya.