Sister Sabria yang membantu memasak makanan untuk masjid dan gereja di Montreal, Kanada; berpandangan tiada seorang pun yang patut tidur malam, dibiarkan dalam kelaparan dan kebimbangan.


Bekas guru kelahiran Johor Bahru yang telah berhijrah ke Kanada sejak 30 tahun lalu, turut giat membantu golongan wanita teraniaya dengan dibantu oleh sekumpulan sukarelawan pelajar dari universiti tempatan.


Di Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir juga memiliki aspirasi serupa apabila memperkenalkan slogan ‘Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir’ sejak awal pelantikannya sebagai Menteri Besar.


Malahan, beliau turut mengilhamkan penubuhan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dalam menyediakan bantuan kotak makanan kepada golongan memerlukan tanpa mengira perbezaan fahaman politik.


Hari ini, bersempena permulaan siri Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) 2018 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah, Sister Sabria diundang berkongsi pengalamannya bagi menyampaikan satu syarahan eksekutif bertajuk belas kasihan tanpa sempadan.


“Inilah yang saya mahukan dalam hidup. Saya terdorong untuk terlibat dalam kerja amal disebabkan oleh galakan daripada ibu bapa. Ibu saya banyak menyediakan makanan kepada orang yang tidak berkemampuan.


“Apabila saya melakukan kerja amal, saya juga memberikan kembali kasih sayang kepada ibu bapa saya dan Allah. Saya tidak kaya dan tidak juga miskin, itulah yang paling baik mengenainya,” katanya ketika berucap di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.


Sementara itu, Zambry berkata, kisah hidup Sister Sabria boleh dijadikan ikutan oleh generasi muda selain mengilhamkan panduan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kesukarelawanan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.


“Selain itu, ia turut memberikan inspirasi bagaimana kita boleh hidup dalam lingkungan masyarakat pelbagai agama yang sebenarnya bukan menjadi penghalang besar, malah kita dapat hidup dalam keadaan aman dan selesa,” katanya. - UTUSAN ONLINE