Pegawai Daerah Manjung, Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, sebanyak 167 program akan diadakan di daerah ini yang merangkumi sebahagian kawasan dari Parlimen Lumut dan Parlimen Beruas.

“Program ini akan melibatkan penyertaan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Exco kerajaan negeri selain pembabitan bersama ketua jabatan.

“Kepimpinan tertinggi negeri termasuklah penglibatan semua pihak akan bersama-sama dengan rakyat melaksanakan pelbagai aktiviti dan program. Ia sekali gus bagi mencari jalan penyelesaian masalah yang ada di kawasan ini.

“Justeru itu, diharapkan rakyat dapat bersama-sama menyertai setiap program yang dijalankan dan ini juga peluang untuk mereka bertemu secara dekat dengan kerajaan dan barisan pemimpin negeri,” kata Mohamad Fariz dalam sidang akhbar sempena program Permukiman Menteri Besar di pejabat Daerah dan Ta­nah Manjung di sini hari ini.

Tambah beliau, orang ramai harus merebut peluang itu dan selama lima hari program ini berlangsung diharap dapat membantu menyelesaikan masalah yang ada.

Dalam pada itu, Mohamad Fariz juga merangkap Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM) turut menguar-uarkan tawaran pakej pelekat tempat letak kereta kepada penduduk daerah ini.

“Pakej yang ditawarkan sangat berbaloi dengan hanya RM60 untuk enam bulan dan RM100 untuk tempoh setahun berbanding harga biasa RM210 untuk enam bulan manakala RM420 bagi setahun.

“Tempoh tawaran pakej pelekat ini dibuka sehingga 3 April 2018 dan tempoh sah laku berdasarkan tarikh pembelian.

“Mereka yang berminat hanya perlu menyatakan nombor plat pendaftaran sahaja tanpa membawa geran. Bagi mendapatkan pelekat mereka boleh terus ke Jabatan Penguatkuasaan, Aras 1, Bangunan Blok B, MPM atau menghubungi 05-6898864 untuk maklumat lanjut,” katanya.