Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, selain acara larian, Sultan Perak dan rakyat berpeluang melihat piala tersebut pada program itu nanti.

Katanya, semua pemain Perak akan hadir pada perakan tersebut dan rakyat dijemput untuk beramai-ramai menghadirinya.

“Piala tersebut juga dipertimbangkan untuk dibawa berarak ke seluruh daerah di negeri ini selepas dipersembahkan kepada Sultan Perak.

“Kalau ada kesempatan kita akan membawa Piala Malaysia ke daerah dan kampung agar semua rakyat dapat bersama para pemain meraikan kejayaan yang menamatkan penantian 18 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pada sidang akhbar selepas menghadiri sesi wawancara di Perak FM di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A.Sivanesan.

Sementara itu, mengenai desakan penyokong supaya Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim meletak jawatan, Ahmad Faizal meminta penyokong mengawal emosi.

Menurutnya, beliau menerima baik semua pandangan dan komen yang diberikan berhubung isu berkenaan namun perkara itu perlu di atasi dengan bijak.

“Saya telah berbincang dengan presiden sendiri tentang perkara yang beliau perlu lakukan, namun lebih penting saya mahu katakan adalah cara kita mengurus kejayaan hari ini.

“Kita telah berjaya membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Perak selepas 18 tahun dan pada musim akan datang kita akan bertanding untuk pertandingan lebih besar pada peringkat Asia jadi kita perlu bijak mengawal emosi,” katanya. - UTUSAN ONLINE