TAN KAR HING

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata, pengendali hospital di sini memberi keyakinan bahawa mereka boleh menawarkan perkhidmatan pelancongan perubatan pada kadar lebih berpatutan berbanding negeri lain.

Beliau berkata, ketika ini, pelancong dari Medan lebih cenderung memilih negeri Pulau Pinang dan Melaka bagi mendapatkan perkhidmatan perubatan.

Sehubungan itu katanya, satu lawatan kerja ke Medan akan dianjurkan pada bulan depan bagi meningkatkan lagi kesedaran dan promosi Ipoh dalam kalangan masyarakat Medan selain misi jualan perniagaan ke perniagaan (B2B).

“Ketika ini, jumlah penumpang dalam penerbangan Malindo Air dari Medan ke Ipoh, sejak ia bermula pada suku kedua tahun ini ialah lebih 40 peratus.

“Kita mahu meningkatkan lagi jumlah pelancong Medan ke negeri ini. Kita akan tambah baik promosi dan pengiklanan dalam media sosial termasuk penawaran pakej pelancongan lebih menarik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam perkembangan berlainan, Kar Hing berkata, Gua Tambun di sini yang ditutup sejak Julai lalu, telah mula dibuka untuk kunjungan umum bermula hari ini.

“Selepas melakukan kerja-kerja pembersihan, kita memerlukan peruntukan bagi menambah baik kemudahan serta akses masuk ke gua tersebut,” katanya.