Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sehubungan itu, beliau me­minta Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengadakan penerangan di pe­ringkat akar umbi supaya indeks yang menilai prestasi pentadbiran negara da­ripada per­spektif Maqasid Syariah difahami.

Menurutnya, pe­nerangan per­­lu dilakukan bagi memberi penjelasan bahawa in­deks yang diper­kenalkan pada 2015 itu tidak hanya tertumpu kepada soal nikah kahwin atau untuk orang Islam sahaja.

Beliau berkata, Indeks Syariah Malaysia merupakan pendekatan untuk menilai perkara yang diperlukan dalam kehidupan se­harian dari aspek ekonomi, sosial, politik, kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan lain-lain yang mencakupi keseluruhan kehidupan manusia.

“Indeks Syariah Malaysia adalah pendekatan ikhlas untuk penilaian program yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi memenuhi konsep Maqasid Syariah,” kata­nya selepas merasmikan Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia peringkat negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ke­tua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Na­yan.

Zambry meminta semua pihak menerima baik indeks tersebut dan tidak menganggap ia hanya kosmetik bersifat syiar tanpa syariat.

Menurutnya, kerajaan um­pa­manya telah melaksanakan sya­riat Islam dengan membina masjid, namun yang mengisi masjid itu adalah tanggungjawab orang Islam sendiri.

“Adalah tidak wajar jika sampai hendak ke masjid pun kerajaan kena pergi jumpa setiap orang.

“Memang kerajaan sentiasa menggalakkan umat Islam supaya ke masjid tetapi terpulang kepada diri sendiri untuk melaksanakan tuntutan agama,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Nordin berkata, Jakim menunggu maklum balas dari negeri lain untuk menganjurkan program penerangan Indeks Syariah.

Katanya, fasa pertama Indeks Syariah Malaysia dua tahun lalu ialah memberi pemahaman kepada masyarakat mengenai Maqasid Syariah.

“Tahun ini adalah fasa pembudayaan supaya semua pihak memahami konsep Indeks Syariah dan dilaksanakan ke dalam dasar sedia ada,” katanya.