Antara pengunjung yang hadir termasuk dari Thailand, Singapura, Brunei, Indonesia, Australia dan United Kingdom.

Program yang dilancarkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi itu merupakan cetusan idea Kelab Bikers Perak (Apps Bikers) iaitu salah satu kelab permotoran di Perak dengan 10 kelab motosikal lain.

Dengan tema ‘Revolusi Dunia Permotoran’ penganjuran acara permotoran ini mendapat kerjasama kerajaan negeri serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Perak.

Pengerusi Program PIBW 2017, Azmi Hashim berkata, program itu diadakan bersempena sambutan Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurutnya, PIBW 2017 turut menonjolkan gimik menarik bagi meraikan sambutan Keputeraan Sultan Nazrin dengan membuat sembah ‘Daulat Tuanku’ melalui susunan 80 biji topi keledar dan 60 penunggang motosikal.

Selain itu katanya, program yang diadakan selama tiga hari itu juga diadakan sempena Tahun Melawat Perak 2017.

“Sebagai anak jati Perak, kami dari Kelab Bikers Perak atau Apps Bikers ingin menunjukkan rasa ketaatan kami kepada baginda tuanku dengan acara permotoran secara sihat ini.

“Selain dapat berkumpul, acara ini secara tidak langsung akan turut membantu mempromosi sektor pelancongan di Perak kerana pemilik motosikal dari luar Perak dan Malaysia turut memeriahkan acara ini,”katanya.

Menurut Azmi, PIBW 2017 juga merupakan platform untuk golongan belia menonjolkan bakat dalam bidang permotoran secara berhemah.

Katanya, selain itu ia dapat mencungkil bakat-bakat muda seperti Khairul Idham Pawi, anak jati Kampung Gajah, Perak yang melakar nama Malaysia dalam Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi ka­tegori Moto3.

“Program ini juga mengerat silatulrahim dalam kalangan para peserta sama ada pemilik motosikal dari dalam negara dan luar negara apabila PIBW turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik berkaitan motosikal,” katanya.

Menurutnya, antara aktiviti yang diadakan ialah Slot Belia Masjid Negeri Perak, pertandingan motosikal bagi kategori Best Bike,Best Custom Bike, Best Kapcai, lintas hormat dan persembahan bermotosikal daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta konvoi ke Istana Kelly di Batu Gajah dan Kompleks Silveritage di sini.

“Program ini dimeriahkan dengan karaoke santai bikers serta persembahan kebudayaan dari Persatuan Kesenian Sebastiar Perak yang mempersembahkan tarian India, Gabungan Sekolah JPN Perak dengan tarian Cina serta tarian sewang daripada masyarakat Orang Asli,” katanya,

Acara ini turut digamatkan de­ngan persembahan tujuh selebriti iaitu Yabang (Khalifah), Dwan (Olan), Afee (U-Topia), Ali (Lela), Zack (Massa), Nik (Putra) dan Kensolo (Auraindrapatih).

Sebanyak 15 gerai pameran dari Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Tourism Perak, Lost World of Tambun, Perak FM serta Motac turut mengambil bahagian.

Selain itu, 125 gerai menjual pelbagai produk berkaitan permotoran, jualan makanan daripada 20 food truck serta surau disediakan oleh Belia Masjid Negeri untuk memudahkan pengunjung untuk bersolat.