Kepelbagaian produk pelancongan yang ada termasuk bangunan-bangunan warisan yang masih mengekalkan ciri-ciri pe­ninggalan sejarah serta tarikan baharu seperti taman tema animasi pertama Asia, Movie Animation Theme Park (MAPS) menjadikan Perak sebagai lokasi yang wajib dikunjungi pelancong khususnya pelancong asing.

Justeru itu, bagi menarik kehadiran pelancong, kerajaan ne­geri melalui Tourism Perak mengadakan program Misi Penggalakan Pelancongan sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2017 di Medan dan Jakarta dari 8 hingga 10 Mei lalu.

Program tersebut turut disertai Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Pengerusi Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Setiausa­ha Kerajaan negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Inisiatif Tourism Perak itu mendapat sambutan baik daripada ejen pelancongan di negara itu apabila ada dalam kalangan mereka tidak mengetahui lokasi Perak selain dari­pada Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Pulau Langkawi.

Pengarah Urusan Nusa Tour and Travel yang mahu dikenali sebagai Rosmawati berkata, dia tidak mengetahui mengenai kewujudan negeri Perak di Malaysia sehinggalah menyertai program anjuran Tourism Perak itu.

Katanya, penyertaannya dalam program tersebut memberi pelbagai maklumat bahawa negeri tersebut tidak kurang hebatnya dalam aspek pelancongan berbanding negeri lain di Malaysia.

“Sebelum ini saya hanya tahu mengenai Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur sahaja. Perak saya tidak pernah dengar langsung sedangkan banyak lokasi menarik boleh diterokai di negeri itu.

“Selepas ini saya pasti akan memasukkan Perak dalam pakej lawatan ke Malaysia dan mempromosikannya kepada pelancong di Indonesia terutama selepas MAPS dibuka tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Tra­vel Yuk.com, Harry Isnaeni, 49, berkata, ramai penduduk di republik itu masih belum mengetahui mengenai Perak.

Katanya, kebanyakan pelancong yang mengikuti pakej pelancongan yang ditawarkan agensinya memilih untuk mengunjungi Kuala Lumpur, Johor, Melaka dan Pulau Pinang selain Singapura.

“Program ini sangat bagus bagi kami yang belum tahu mengenai Perak. Saya sendiri tertarik de­ngan beberapa produk pelancongan terutama Gua Tempurung dan Kellie's Castle.

“Kedua-dua lokasi itu akan saya promosikan kepada pelancong kerana ia cukup unik dan menarik,” katanya.

Sementara itu, Zambry berkata, Perak memberi tumpuan kepada pasaran Indonesia untuk mempromosikan produk pelancongannya ekoran hubungan akrab yang dimiliki antara kedua-dua negara selain berada dalam kawasan pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Katanya, pasaran besar di ne­gara itu merangkumi aspek persamaan budaya, sejarah dan hu­bungan kekeluargaan yang mem­bolehkan pelancong Indone­sia datang ke Malaysia seterusnya mengunjungi Perak.

“Diharap program ini dapat menarik minat pengunjung dari Indonesia untuk datang ke Perak selain mereka mengunjungi lokasi percutian lain seperti Kuala Lumpur, Langkawi dan Pulau Pinang.