Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, bagi peringkat awal, tumpuan utama kepada lebih 600 masjid dan kira-kira 2,000 surau di negeri ini.

Menurutnya, kebersihan di tempat ibadat adalah prasyarat yang sangat penting kerana setiap agama menekankan aspek kebersihan.

“Kita tekankan di seluruh masjid dan surau kerana kita hendak mulakan apa yang kita katakan sebagai revolusi dalam penjagaan kebersihan.

“Pada akhirnya, kita mahu libatkan seluruh rakyat supaya Perak bukan sahaja terkenal sebagai negeri bersih daripada sampah-sarap, tetapi juga bersih di tandas awam termasuk di rumah ibadat,” katanya selepas merasmikan Seminar Hammam 2017 anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Institut Darul Ridzuan (IDR) di Institut Tadbiran Islam Perak (Intim), di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd. Nizar Zakaria dan Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin.

Dalam seminar tersebut, seramai 1,200 pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid di semua daerah di negeri ini turut melafazkan ikrar kebersihan tandas awam sebagai rakyat Perak.

Dalam pada itu, Zambry berkata, dasar kerajaan negeri ialah melihat tiada tandas awam kotor sekali gus menyandarkan tanggungjawab utama kepada Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah.

Namun, katanya, pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri ketika ini adalah mendidik rakyat secara berhemah, justeru semua pihak juga perlu memainkan peranan masing-masing.

“Selain garis panduan, kita kena ada prosedur operasi standard (SOP) atau kaedah yang boleh diterima oleh semua pihak kera­na kita harapkan ia menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat, bukan sahaja dalam kalangan orang Islam tetapi juga bukan Islam,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Yusop berkata, pihaknya melancarkan Modul Pembersihan Hammam (tandas) yang disediakan oleh SIRIM Berhad (SIRIM) bagi diguna pakai dalam penjagaan kebersihan tandas di masjid dan surau seluruh negeri ini bermula pertengahan tahun lalu.

“Hari ini JAIPk juga menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Jabatan Pendidikan Perak bagi menggalakkan program gotong-royong bersih masjid dalam kalangan pelajar melalui projek sekolah angkat dan pada masa sama, mereka juga dibenarkan untuk menganjurkan program di sana,” katanya.