Penubuhan Kepak secara rasminya pada 21 November lalu di bawah Pesuruhjaya Sukan Malaysia membolehkan ia mempunyai juruterbang yang bertauliah.

Seramai 14 juruterbang yang terdiri daripada anak-anak tempatan telah menjalani latihan di Bukit Bubus, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Kepak dinaungi oleh Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman dan mendapat kerjasama sepenuhnya Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim.

Kini, juruterbang Kepak me­wujudkan lapangan penerbangan dengan panggilan Kroh Paragliding Park di Banjaran Pengkalan Hulu.

Ketinggian lapangan penerbangan setinggi lebih 150 meter dari aras laut, terletak satu kilometer dari Pekan Pengkalan Hulu dijadikan tempat untuk mereka melakukan latihan.

Lapangan ini boleh digunakan juruterbang melakukan penerbangan di kedua-dua arah bukit iaitu angin timur dan angin barat.

Juruterbang boleh menikmati keindahan arah barat dengan melihat pemandangan keseluruhan Pekan Pengkalan Hulu, Gunung Pulai dan Gunung Baling.

Manakala arah timur dapat melihat pemanda­ngan Gunung Kenderong, Gerik dan bukit sempadan Thailand.

Kroh Paragliding Park kini menjadi daya tarikan peminat sukan paragliding seluruh negara.

Penerbangan dilakukan se­tiap hujung minggu dan latihan dilakukan bersama-sama rakan juruterbang Kepak.

Pengerusi Kepak, Ahmad Taufik Yusoff berkata, sejak Kroh Paragliding Park berope­rasi Mei lalu, ia kini dikunjungi lebih 200 juruterbang khasnya dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Sabah.

“Peruntukan yang diberikan Ahli Parlimen telah membuahkan hasilnya apabila daerah ini menjadi tumpuan peminat sukan ekstrem.

“Kemampuan, keyakinan serta semangat yang ditunjukkan ahli jawatankuasa Kepak membuktikan sukan paragliding ini mampu menjana ekonomi penduduk setempat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya,, peminat sukan lasak ini boleh mengikuti penerbangan bersama dengan juruterbang terlatih dengan melakukan tendem master atau juruterbang membonceng pelancong untuk merasai cabaran sukan paragliding itu.

Setiap hari selepas solat asar terutama pada hari Sabtu dan Ahad, juruterbang Kepak akan mengadakan latihan kitting atau tarik payung bagi membolehkan mereka mengawal payung.

Sekiranya cuaca mengizinkan, mereka akan melakukan penerbangan bagi memantapkan lagi kemahirannya.

Ahmad Taufik berkata, juruterbang dari luar daerah turut sama melakukan penerbangan dan bagi mereka berminat de­ngan sukan lasak itu, Kepak turut memberi ruang kepada mereka kitting di lapangan pendaratan.

“Sekiranya ingin menjadi ahli Kepak, individu terbabit perlu menjalani latihan secara sah dengan jurulatih bertauliah dan diiktiraf Persatuan Luncur Udara Malaysia.

“Mereka perlu mempunyai buku log penerbangan dan me­lakukannya secara solo sekurang-kurangnya sekali,” katanya.