Setiausaha Kerajaan Nege­ri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, pencapaian itu termasuklah dalam bidang akademik, sahsiah dan sukan.

Malah, kata Abdul Puhat, terdapat antara sekolah di pedalaman yang dalam serba kekurangan, namun pencapaian yang diperoleh pelajarnya amat membanggakan.

“Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Burong, Kuala Kurau ini sebagai contoh yang dimasukkan dalam Program Kecemerlangan Sekolah-Sekolah Kebangsaan Negeri Perak telah menunjukkan prestasi amat baik dalam bidang akademik dan sukan.

“Walaupun sekolah ini tidak mempunyai padang sekolah, namun ramai bekas pelajar SK Sungai Burong juga pernah mewakili daerah Kerian, negeri dan negara dalam acara sukan. Inilah hasilnya jika kita rajin berusaha,” katanya ketika merasmikan perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Burong, dekat sini baru-baru ini.

Lebih menggembirakan, katanya, sekolah itu juga berjaya melahirkan usahawan berjaya termasuklah Datuk Ramly Mokni iaitu Pengasas Ramly Burger.

Menurutnya, ramai pelajar ber­asal daripada keluarga miskin tetapi mampu mengubah nasib keluarga masing-masing atas usaha kegigihan mereka.

“Bagaimanapun usaha ini tidak berjaya tanpa sokongan semua pihak termasuk ibu bapa, guru serta PIBG sekolah masing-masing,” katanya.