Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pihak luar yang hanya datang ke pulau ini menjelang musim pilihan raya umum sahaja tidak layak memberi arahan kepada penduduk tempatan tentang apa yang mereka perlu lakukan.

“Saya mahu melihat orang Pulau Pangkor terus mengekalkan semangat kerjasama yang telah menjadi amalan sejak dulu.

“Kita seperti adik abang. Sebab itu kalau orang Melayu susah saya tolong, orang Cina susah, saya tolong, orang India susah pun, saya tolong,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian ang­pau dan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina 2018 di Arena Square di sini semalam.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Pada majlis sama, Zambry menyampaikan ang pau kepada kira-kira 700 pelajar sekolah dan warga emas serta bantuan RM5,000 kepada setiap daripada 21 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pangkor.

Beliau turut meluangkan masa bersarapan dengan penduduk di sebuah warung di Kampung Tengah.

Zambry menambah, penduduk Pulau Pangkor sememangnya terkenal dengan hubungan yang erat merentasi kaum dan agama serta saling membantu antara satu sama lain.

“Sehubungan itu, rakyat harus bijak memilih pemimpin yang bekerja untuk rakyat berban­ding pemimpin yang hanya gemar mencerca serta melemparkan fitnah kepada pihak lawan,” katanya.