Bangunan balai polis tersebut yang dibina di tengah-tengah pekan Teluk Intan, sebelum ini kelihatan cukup uzur dengan dipenuhi daun pokok yang menjalar naik sehingga ke bumbung.

Cukup sayang apabila melihat bangunan berkenaan yang dimamah usia, hanya menunggu masa untuk rebah menyembah bumi.

Sehubungan itu, amat wajar pihak tertentu sepatutnya menjaga serta membaik pulih wari­san tersebut supaya ia dapat terus ditatap oleh generasi akan datang.

Lebih-lebih lagi, generasi masa kini juga perlu mengetahui asal usul balai polis ber­kenaan yang suatu masa dahulu pernah mencatatkan sebahagian daripada catatan sejarah di sini.

Balai polis lama itu asalnya dibina untuk dijadikan bangunan pentadbiran kastam di kawasan Teluk Anson pada ketika itu iaitu sekitar tahun 1882.

Namun, selepas itu, ia ditukar menjadi balai polis berikutan faktor lokasinya yang terletak di tengah-tengah pekan kerana dilihat begitu strategik.

Pada zaman penjajahan Bri­tish, balai polis lama berkenaan dijadikan sebagai tempat tahanan untuk mereka yang didapati bersalah.

Apabila tentera Jepun menduduki Tanah Melayu sekitar tahun 1941, ia dikembalikan fungsinya sebagai ibu pejabat pasukan polis tentera Jepun (Kempeitai) yang cukup digeruni kerana ada antara mereka bertindak kejam dan ganas bagi menjaga kepentingan pentadbiran Jepun.

Ketua Bahagian Pengurusan IPD Hilir Perak, Deputi Superin­tenden Mohd. Azizul Mohd. Khairi berkata, pihaknya terpanggil untuk membersihkan balai polis lama tersebut setelah dipenuhi dengan semak samun kerana ia kelihatan mencemarkan pemandangan di Teluk Intan.

Sehubungan itu, katanya, sebanyak 100 anggota polis termasuk dari Balai Polis Bagan Datuk, Balai Polis Simpang Empat dan IPD Hilir Perak sendiri menganjurkan gotong-royong bagi membersihkannya.

“Kita melakukan kerja-kerja memotong rumput dan menebang pokok tinggi yang memanjat bangunan balai ini termasuk membersihkan bahagian dalamannya yang dipenuhi dengan pokok berjuntai melalui celah bumbung,” katanya ketika ditemui sewaktu aktiviti gotong-royong berkenaan baru-baru ini.