Zambry Abd. Kadir
Zambry Abd. Kadir

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, selepas pilihan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kerajaan negeri telah memperkenalkan program permukiman di daerah sebagai kesinambungan kepada program turun padang yang diperkenalkan sejak tahun 2010 bagi menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Dari segi pertumbuhan ekonomi negeri bagi tempoh 2010 hingga 2015, Perak telah mencapai kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dikompaun (CAGR) sebanyak enam peratus iaitu lebih baik daripada peringkat nasional (5.3 peratus), Pulau Pinang (5.7 peratus), Johor (5.9 peratus), Melaka (5.6 peratus) dan beberapa negeri lain.

“Kini, pada ukuran CAGR, kedudukan Perak berada di tangga keempat daripada 14 negeri dan dua Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr. Zabry Abd. Wahid (BN-Trong) yang bertanyakan mengenai pe­rancangan kerajaan untuk membangunkan negeri ini dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zambry berkata, kerajaan negeri juga telah mewujudkan tiga daerah baharu iaitu Kampar, Mualim dan Bagan Datuk bagi memperkasa usaha pembangunan negeri.

Selain itu katanya, terdapat beberapa pelan perancangan lain turut diwujudkan bagi memastikan Perak terus membangun termasuklah Pelan Tindakan Pembangunan Perindustrian Perak 2008-2020, Pelan Induk Perlombongan Perak, Rancangan Pembangunan Wilayah Perak Selatan dan 1Malaysia Youth City di Tanjung Malim.

“Kesemua perancangan pembangunan itu bertujuan memastikan Perak mencapai status negeri maju seiring dengan slogan ‘Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir,” katanya.