Malah Muhammad Iqbal Shah Zakaria, 29, pelajar tahun tiga peringkat ijazah Kejuruteraan Reka Bentuk Produk sedia mengorbankan pengajiannya jika penyakit adiknya, Muhammad Ikhwan Shah, 28, berpanjangan.

Menurut Muhammad Iqbal Shah, dia nekad memohon penangguhan pengajiannya memandangkan tiada orang yang menjaga adiknya setelah kematian bapa pada tahun 2009 disusuli emaknya pada 2012 tambahan pula mereka hanya dua beradik.

Katanya, dia masih menunggu jawapan setelah mengemukakan permohonan menangguhkan pelajarannya selama setahun kepada pihak universiti pada Selasa lalu.

“Sejak adik saya disahkan menghidap kanser kelenjar tahap empat pada Disember, saya menjaganya. Saya tidak sampai hati membiarkan dia tinggal seorang diri di rumah dalam keadaannya yang sedang menderita sakit.

“Saya nak belajar pun tak senang hati lalu saya memutuskan untuk menangguhkan pelajaran malah jika sakitnya berlarutan saya sedia melupakan pelajaran saya demi satu-satu ahli keluarga saya ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Iskandar Bestari, Seri Iskandar dekat sini hari ini.

Menurut Muhammad Iqbal Shah berkata, akibat penyakit yang ditanggung, adiknya perlukan perhatian sepenuhnya terutama untuk mengambil ubat dan suntikan setiap pagi.

Katanya, lebih membimbangkan adiknya boleh diserang rasa mual dan sakit perut pada bila-bila masa akibat rawatan kemoterapi.

“Setiap bulan adik saya perlu menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh. Bayaran kemoterapi dan ubat-ubatan lebih kurang RM200 setiap kali rawatan,” katanya.

Sementara itu, dua pegawai Yayasan Pelajaran Mara negeri mengunjungi kediaman dua beradik itu hari ini difahamkan bagi membincangkan bantuan yang boleh diberikan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh Muhammad Iqbal Shah dan adiknya.

Orang ramai yang ingin memberi bantuan boleh menyumbang terus ke akaun Bank Islam dengan nombor akaun 08013023681843 atau menghubungi Muhammad Iqbal Shah di talian 019-5065957. - UTUSAN ONLINE