Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pe­ngangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Yong Choo Kiong berkata, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang menjalankan operasi premis secara haram, ia boleh dimaklumkan kepada kerajaan ne­geri.

“Ramai bertanyakan kepada saya tentang ini tetapi saya belum pernah keluarkan sebarang lesen hiburan setakat ini walaupun terdapat premis sedia ada yang sudah tamat tempoh (lesennya).

“Pengeluaran lesen kini di bawah pejabat daerah bukan PBT, sementara operasi dijalankan pi­hak polis,” katanya selepas program turun padang ke Taman Gunung Lang yang turut dihadiri Datuk Bandar, Datuk Zamri Man.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai bilangan lesen pusat hiburan yang telah diluluskan di sekitar Ipoh.

Dalam perkembangan ber­lainan, Choo Kiong berkata, sebanyak 312 lantikan ahli majlis di kesemua 15 PBT di negeri ini dijangka dapat diselesaikan dalam minggu ini de­ngan proses mengangkat sumpah jawatan bakal dijalankan secara serentak bagi melancarkan operasi.

Beliau berkata, lantikan ahli majlis itu bukan sahaja melibatkan wakil daripada empat gabungan parti politik dalam Pakatan Harapan tetapi juga dua wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi setiap PBT selepas menerima ratusan permohonan mengenainya.

“Kita memilih ahli majlis mengikut peratusan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. Saya tidak ada angka tepat kerana semuanya atas dasar persefahaman dan tolak ansur.

“Jadi, DAP memperoleh majoriti kerana memenangi 18 kerusi diikuti Parti Amanah Negara (Amanah), PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya.

Ditanya sama ada perkhidmatan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan diteruskan di negeri ini, Choo Kiong berkata, pihaknya akan mengkaji semua cadangan yang dikemukakan kepada PBT dan beliau tidak menolak SWCorp kerana bersetuju dengan cara pengurusan perbadanan itu.

“Cuma apa yang saya bimbangkan ialah apabila kita menswastakan pengurusan ini, maka kos akan meningkat dan kita terpaksa menaikkan cukai taksiran,” katanya.