Zambry Abd. Kadir

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pemantauan perlu dilakukan bagi mengelak kejadian pokok tumbang sehingga meragut nyawa dan kemusnahan harta benda akan berulang.

“Semua PBT khususnya Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) diminta memantau keadaan pokok di sekitar bandar raya ini terutama pokok yang sudah reput untuk mengelak kejadian tidak diingini.

“Keadaan seperti ini agak sukar untuk dikawal khususnya apabila melibatkan cuaca, namun sekiranya terdapat pokok yang dikesan berisiko dan bahaya, PBT perlu mengambil tindakan segera,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di sini hari ini.

Sejak minggu lalu, beberapa kejadian pokok tumbang ekoran hujan lebat dan angin kencang berlaku di beberapa kawasan di bandar ini yang menyebabkan kesesakan, kemusnahan harta benda dan mengorbankan nyawa.

Dalam kejadian pada pukul 3.32 petang, Sabtu lalu, seorang wanita warga emas maut manakala anak perempuannya cedera setelah kereta yang dinaiki dihempap sebatang pokok yang tumbang di Jalan Raja Dr. Nazrin Shah berhampiran sebuah hotel di sini.

Selain itu, lapan kenderaan termasuk dua motosikal turut rosak dihempap pokok tumbang dalam dua kejadian berasingan di sini.