Sistem berkenaan adalah hasil kerjasama strategik antara Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Zambry berkata, pemasangan sistem penggera bencana ber­kenaan merupakan satu inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang sangat baik.

“Pendekatan bersepadu antara TNB, APM dan JPS ini mampu untuk menyelesaikan masalah banjir di kawasan terlibat.

“Ini kerana kawasan berkenaan memang dikenal pasti sebagai kawasan rendah yang selalu dilanda banjir,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mini Karnival Teras Keselamatan di Arena Square Kati, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Pengurus Besar Stesen-stesen Janaelektrik Sungai Perak (Bahagian Penjanaan TNB), Mazlan Mohd. Som.

Sementara itu, Mazlan berkata, hasil kajian pihaknya mendapati lokasi tersebut sesuai untuk pemasangan siren kecemasan selain satu lagi kawasan di Kampung Gajah yang merupakan kawasan rendah.

Katanya, TNB merancang untuk memasang sistem penggera di sepanjang Sungai Perak sekiranya sistem tersebut terbukti berjaya mengurangkan impak kejadian bencana banjir.

“Sistem ini akan diaktifkan apabila TNB, APM dan JPS mengesan taburan hujan, tahap air di empangan dan risiko kejadian banjir di satu-satu kawasan.

“Kita berinteraksi dengan APM dan mereka membunyikan siren kecemasan itu dan juga boleh dibunyikan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

“Dalam masa sama, pihak sekretariat bencana menghubungi pelbagai agensi terlibat seperti polis dan pihak hospital bagi menghadapi kemungkinan banjir berlaku serta urusan memindahkan penduduk,” katanya.

Bagi memudahkan operasi berkenaan kelak katanya, satu prosedur operasi standard (SOP) lengkap mengenai penggera itu dijalankan dengan melibatkan penyertaan ahli jawatankuasa kampung serta semua pihak terlibat.

“Dua jenis isyarat permakluman kecemasan akan berbunyi iaitu siren terputus-putus memberi makluman untuk langkah siap sedia manakala bunyi siren berterusan menandakan amaran bahaya yang memerlukan penduduk setempat segera keluar dari kediaman ke kawasan selamat.

“Siren ini boleh didengari dalam radius satu kilometer dari lokasi ia dipasang,” katanya.