Menariknya, selain diwajibkan memakai gincu, ada antara peserta terutamanya peserta luar negara telah berada di sekitar lokasi pertandingan sejak petang semalam sebagai persediaan menyertai acara larian yang diadakan secara tahunan tersebut.

Kesemua mereka yang memakai bagu T merah jambu dan daripada pelbagai peringkat umur tersebut dilepaskan pada kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum berakhir sepenuhnya kira-kira hampir empat jam kemudiannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi ne­ge­ri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, selain peserta tempatan, edisi petandingan kali ini turut menarik minat enam peserta luar iaitu masing-masing dari Australia, Ukraine, New Zealand, Indonesia, Singapura dan Kenya bagi kategori terbuka antarabangsa.

Katanya, jumlah peserta yang terlibat pada acara pertama yang diadakan di salah satu ikon pelancongan negeri Perak itu juga mencecah hampir dua kali ganda berbanding jumlah peserta yang menyertai acara sama tahun lalu.

Tambah beliau, selain bagi membantu mempromosikan ikon­ pelancongan di negeri ini, pertandingan tersebut juga bertujuan memberi peluang kepada wanita menceburi sukan lasak pelbagai disiplin bagi menguji ketahanan fizikal serta mental mereka.

‘Alhamdulilah, sehingga kini kita (Perak) telah menjadi pilihan pelancong domestik dan selama empat tahun berturut, Perak telah terpilih sebagai negeri yang me­nerima pelancong domestik pa­ling ramai.

“Kita juga telah menerima pel­bagai pengiktirafan yang membawa nilai pemasaran yang tidak ternilai iaitu apabila pada Jun tahun lalu, Bandar Raya Ipoh diiktiraf sebagai tempat keenam bandar raya terbaik di Asia untuk dilawati oleh Lonely Planet manakala pada November pula Perak terpilih sebagai wilayah kesembilan terbaik di dunia untuk dilawati pada tahun 2017.

“Banyak yang telah kita peroleh dari segi pengiktirafan. Juste­ru, saya berharap kita mampu mencapai sa­saran kedatangan lebih lapan juta pelancong ke negeri itu pada tahun ini,” katanya ketika merasmikan acara penutup pertandingan itu di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Informasi Pelancongan dan Kesihatan Perak, Noradidah Mokhtar.

Menurut Nolee Ashilin, selain terbuka antarabangsa, dua lagi kategori dipertandingkan pada acara itu iaitu kategori nasional dan novis bawah 12 tahun,

Tambah beliau, dalam petan­dingan itu, peserta kategori an­tarabangsa dan nasional perlu berdepan laluan mencabar sejauh 10 kilometer dengan melalui dua buah kawasan perkampungan di sekitar Gua Tempurung manakala bagi kategori kanak-kanak sejauh tiga kilometer.

Katanya, sepanjang acara berlangsung peserta juga perlu menempuh tujuh jenis halangan seper­ti Tire Hill, Commando Crawl, Monkey Bar, Balak Cross, Hill Slidding, River Bridge Climbing dan Off Road Running.

“Selain dapat me­nerokai Gua Tempurung, acara ini juga menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM700 bagi ketiga-tiga kategori yang dipertandingkan,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Atikah Wardah Ibrahim, 24, berkata, pertandingan yang dianjurkan amat menarik selain mampu membantu mempromosikan tempat-tempat menarik di negeri ini terutamanya Gua Tempurung.

“Saya sendiri tidak pernah ke sini dan program ini secara tidak langsung dapat mendedahkan saya tentang gua yang begitu cantik ini,” katanya.

Rakannya, Aina Hafizah Mohd. Fuzi, 22, pula berkata, pertan­dingan ini perlu diperluaskan bagi kategori lelaki pula pada masa akan datang.

“Rugi rasanya, jika hanya kami sahaja yang dapat memperoleh kenangan indah seperti ini. Berlari sambil menikmati permandangan amat menarik di Gua Tempurung.

“Lebih elok kalau golongan lelaki juga diadakan pertandingan yang sama pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, peserta, Irene Kemunto Mogaka, 30, daripada Kenya merangkul gelaran juara GTLC 2017.

Irene yang menyertai larian bagi kategori antarabangsa mencatat masa terpantas iaitu 44 minit 31 saat.

Bagi kategori kebangsaan pula dimenangi oleh Michele Tan Bee Kiang, 32 dengan catatan masa 51 minit 2 saat. Manakala bagi kate­gori kanak-kanak di bawah 12 tahun pula diraih Amanda Marge­rat, 10.