Petani baru sahaja menabur benih padi beberapa minggu lalu dan kini sebahagian besar daripadanya sudah mulai rosak akibat lama terendam di dalam air.

Seorang petani, Shaari Said, 68, berkata, akibat terendam di dalam air, ada benih padi yang baru ditabur, hampir mati.

Menurutnya, keadaan bertambah buruk apabila air dalam sawah tidak dapat mengalir keluar dengan cepat kerana terdapat sistem saliran air yang tidak begitu sempurna.

“Buat masa ini apa yang mampu saya lakukan hanyalah menyulam benih padi yang rosak. Bagi setiap 0.4 hektar, saya menggunakan sekurang-kurangnya tiga beg benih padi dan lebih 25 beg telah digunakan setakat ini dengan setiap satu beg berharga RM50.

“Masalah ini menyebabkan kos menanam padi semakin meningkat, ini belum termasuk upah menabur, meracun dan meratakan tanah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Shaari berkata, selain itu petani turut berdepan ancaman siput gondang yang menyebabkan padi tidak dapat tumbuh dengan sempurna serta rumput liar yang semakin banyak di sekitar kawasan sawah.

“Kami masih menunggu insentif racun subsidi yang belum dikeluarkan berbanding musim lalu, kali ini agak lewat,” kata­nya.

Seorang lagi petani, Ishak Ariffin, 70, berkata, masalah benih padi terendam akibat hujan dialami oleh kira-kira 200 pesawah ketika mereka mula menanam padi mengikut jadual tanaman yang telah ditetapkan.