Menggunakan kaedah tradi­sional, mereka menyemai benih, menanam padi menggunakan kuku kambing dan apabila padi sudah masak, mereka mengerat padi dan membanting padi sehingga lerai dari tangkainya.

Cara sedemikian dinamakan ‘berderau’ iaitu kerja menanam, mengerat dan membanting atau memukul padi dilakukan secara bergotong-royong sesama mereka mengusahakan sawah.

Antara pesawah yang masih menggunakan kaedah lama ialah di Kampung Parit Haji Wahab, Sungai Labu Atas, Parit Tok Ngah di Bagan Tiang dan Kuala Kurau.

Melalui tanaman cara lama, gandingan orang dewasa dan orang muda menanam anak padi menggunakan kuku kambing.

Dengan menggunakan kuku kambing, anak padi ditanam secara berbaris di dalam petak sawah.

Ahli Unit Pertubuhan Peladang Parit Tok Ngah Darat, Ayub Rasuli berkata, bergotong-royong menanam padi atau ‘berderau’ sudah hampir pupus namun ada pesawah masih mengekalkan cara lama.

Katanya, padi yang ditanam cara lama mempunyai banyak kelebihan antaranya dapat mengelak diserang ulat bena perang.

Selain itu, katanya, tanaman padi juga lebih tahan berendam di dalam air kerana anak padi yang ditanam menggunakan kuku kambing sudah keras dan tidak mudah lembik.

“Cara ini juga dapat mewujudkan semangat kerjasama dalam kalangan pesawah kerana mereka bergotong-royong menanam padi.

“Ini juga mengurangkan kos berbanding jika mengupah orang menanam padi yang mana upah sehingga RM500 bagi setiap 0.4 hektar,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, setiap kali bergotong-royong menanam padi, kira-kira 15 hingga 20 orang akan melakukannya.

“Biasanya, menjelang tengah hari kawasan seluas 0.4 hektar siap ditanam dengan anak padi,” katanya.

Ayub berkata, penggunaan cara lama menanam padi memberi peluang kepada generasi muda melihat bagaimana orang dahulu mengusahakan sawah.

Katanya, secara tidak langsung ia dapat memberi gambaran kepada generasi muda bagaimana datuk nenek mereka berpanas berhujan menggunakan tulang empat kerat demi menyara keluarga.

“Tanaman padi cara lama juga memberi peluang kepada penduduk kampung mencari pendapatan sampingan setiap kali tiba musim menanam.

“Masih terdapat kelompok kecil pesawah menanam cara lama dan mereka berbangga kerana masih mengekalkan cara ini,” katanya.