Kebanyakan nelayan membina sendiri pelantar ikan namun akibat hakisan dan semakin daif, tempat berkenaan tidak selamat untuk digunakan.

Ketua kumpulan nelayan di sini, Mohd. Fadly Yusof, 38, berkata, terdapat kira-kira 50 nelayan pantai di kawasan ber­kenaan yang menjadikan pelantar beratapkan plastik, berlantai serta bertiang kayu sebagai tempat mendaratkan ikan.

Katanya, keadaan itu membahayakan nelayan dan ke­adaan menjadi tidak selesa jika hujan lebat.

“Selain itu tebing sejauh le­bih kurang 100 meter dari pelantar mulai terhakis akibat ombak dan jika dibiarkan sudah tentu keadaan bertambah serius,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang nelayan, Ishak Ramli, 55, berkata, keadaan pelantar ikan nelayan di sini tidak selamat malah boleh runtuh pada bila-bila masa.

Katanya, ini sudah tentu membahayakan terutama pada waktu puncak apabila peraih dan pembeli datang membeli hasil tangkapan.

“Dahulu pangkalan di se­belah kanan sungai juga daif tetapi dinaik taraf oleh kerajaan terdahulu, kini kami harap kerajaan negeri memberi perhatian ter­hadap keperluan nelayan di sini,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Sulaiman Rashid, 47, berkata, selain tempat mendarat ikan untuk nelayan, penduduk di sini berharap kerajaan membina dewan orang ramai untuk memudahkan me­reka menjalankan aktiviti ke­masyarakatan.