Sejak memulakan perniagaan 10 tahun lalu, nasi lemak daun pisang ini kian po­pular kerana bukan sahaja ter­kenal di daerah ini malah hingga ke utara Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Pemilik peniagaan Nasi Lemak Din Corner menerusi syarikat Rohayadin R&D Sri Piandang Katering, Shamsuddin Ariffin berkata, nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang merupakan tarikan utama pelanggan kerana dapat mengekalkan rasa malah menyebabkan nasi berbau harum.

“Saya menjual nasi lemak sambal tumis ikan duri masin dan telur.

NASI lemak Din Corner siap dibungkus sebelum dijual kepada pelanggan.
NASI lemak Din Corner siap dibungkus sebelum dijual kepada pelanggan. 

“Sambutan begitu mengga­lak­kan dan pelanggan saya ter­di­ri daripada semua lapisan masyarakat dan kaum,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, dia memasak nasi lemak menggunakan beras yang berkualiti manakala sambal tumis dibuat menggunakan rempah ratus tradisional.

Kata Shamsuddin, bekalan daun pisang diperoleh daripada orang kampung dan miliknya sendiri manakala ikan duri masin dibeli daripada nelayan pantai di kawasan Tanjung Piandang.

Dia belajar memasak nasi lemak daripada keluarga isteri­nya, Rohaya Dahaman dan perniagaannya dibantu anak-anak dan pembantu kedai.

“Saya memasak nasi lemak seawal pukul 5 pagi dan bia­sa­nya nasi lemak yang dijual pada harga RM1.20 sebungkus masih panas.

“Saya bersyukur kerana perniagaan ini mendapat sambutan. Selain nasi lemak, kami juga menyediakan sarapan roti canai dan mi sup,” katanya.

Shamsuddin berkata, sebelum ini dia hanya berniaga di tepi jalan dan di pasar malam.

“Berkat usaha dan kesabaran serta sokongan semua pihak, saya mengembangkan perniagaan dengan menubuhkan Rohayadin R&D Sri Piandang Ka­tering dan kini kami beroperasi di Perak utara, Kedah dan Pulau Pinang,” katanya.