Mohd. Akmal Kamaruddin (Pas-Selama) berkata, Selama sudah mempunyai beberapa kemudahan untuk dinaik taraf sebagai daerah penuh seperti hospital, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai bomba.

Menurutnya, jika bertaraf daerah penuh, lebih banyak peruntukkan pembangunan dapat disalurkan di Selama berban­ding ketika ini peruntukan pihak berkuasa tempatan (PB) lebih besar disalurkan untuk pembangunan di Taiping.

“Jika Bagan Datuk yang tidak mempunyai kemudahan seperti hospital atau IPD boleh dinaik taraf sebagai daerah penuh, apa kurangnya di Selama.

“Sudah sampai masanya Selama dinaik taraf sebagai daerah penuh kerana kawasan yang mempunyai 40,000 penduduk ini merupakan daerah paling hujung dan terpinggir,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Mohd. Akmal juga mencadangkan supaya satu laluan lebuh raya dibina untuk memajukan Selama melibatkan laluan dari Kamunting, Batu Kurau, Selama dan Kulim di Kedah.

Katanya, sebelum ini ada cadangan untuk membina lebuh raya yang menghubungkan Jelapang, Sungai Siput, Suak, Batu Kurau, Selama dan Kulim namun kini tidak diketahui status pembinaannya.

“Lebuh raya tersebut memendekkan perjalanan dari Ipoh ke Selama kepada kira-kira 50 kilometer berbanding dua jam ketika ini dan saya harap cadangan pembinaan itu dikaji semula demi memajukan Selama,” katanya.

Beliau turut meminta kerajaan mengusahakan pembinaan sebuah pusat pendidikan berasrama penuh di Selama.

Katanya, semua daerah termasuk daerah kecil di negeri ini sudah mempunyai pusat pendidi­kan berasrama penuh kecuali di Selama.

“Difahamkan sebelum ini ada cadangan membina institut kemahiran tinggi Mara di Jalan Lampin, Selama malahan majlis pecah tanah juga sudah dibuat 10 tahun lalu, namun sehingga kini pembinaannya masih tidak dilaksanakan,” katanya.