Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong berkata, pihaknya justeru telah melancarkan dasar pembangunan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dengan cara baharu.

“Setelah dasar ini dijalankan dan RPT dibangunkan sekali dengan rumah, maka peserta yang meminta rumah ini kalau didapati memang dalam kalangan golongan miskin tegar, saya seru kepada majlis daerah untuk memberikan rumah ini secara percuma.

“Ini adalah satu sifat prihatin kepada golongan miskin tegar,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol) yang bertanyakan sama ada kerajaan negeri mempunyai data maklumat mengenai kemampuan sebenar rakyat untuk membeli rumah dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di sini hari ini.

Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan Terence Naidu (DAP-Pasir Bedamar), Choo Kiong berkata, menerusi penambahbaikan Dasar Perumahan Negeri Perak yang baru dilancarkan, ia diharap mampu untuk meningkatkan kadar peratusan pembinaan rumah kos rendah dan sederhana untuk golongan B40 dan M40.

Beliau berkata, dasar perumahan itu mengandungi mekanisme kawalan dan penguatkuasaan terhadap pelaksanaan pembinaan Rumah Perakku supaya setiap rakyat negeri ini mampu memiliki rumah.

“Sehingga kini, pihak kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) sedang membangunkan perumahan kos rendah sebanyak 28 unit berharga RM70,000 di Kampung Dato’ Nazri dan 109 unit rumah kos sederhana berharga RM95,000 di Changkat Jong,” katanya. - UTUSAN ONLINE