Lebih membanggakan, penerbit buku pelancongan antarabangsa terbesar dunia, Lonely Planet te­lah menyenaraikan Perak sebagai wilayah kesembilan terbaik dunia untuk dilawati pada tahun 2017.

Malahan, bandar raya Ipoh juga telah diiktiraf sebagai destinasi keenam terbaik di Asia pada 2016 oleh penerbit sama.

Sehubungan itu, bagi terus mempromosi Tahun Melawat Pe­rak 2017; seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Larut, Matang dan Selama, Taiping memulakan misi mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,187 kilometer dengan menunggang motosikal klasik Honda S90.

Perjalanan tersebut yang me­ngam­bil masa selama 17 hari, di­lakukan secara solo dengan di­temani lima pengiring yang menaiki empat motosikal dan sebuah kereta sepanjang misi berkenaan.

Hishammuddin Md. Rashid, 45, anak jati Taiping yang lebih dikenali sebagai Kojeq, berlepas dari Angsana Mall di sini pada 15 Disem­-
ber lalu sebelum tiba semula di Dataran Bandaraya Ipoh sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2017 peringkat negeri semalam.

Pada majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Ke­se­nian, Kebudayaan, Komuni­kasi dan Multimedia Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohd. Radzi yang mewakili Menteri Besar, turut menyambut ketibaan Hishammuddin.

Majlis yang dimeriahkan de­ngan kehadiran lebih 5,000 pe­ngunjung itu juga disertai oleh Datuk Bandar, Datuk Zamri Man.

Hishammuddin yang melalui jalan kampung ketika mengeli­lingi Semenanjung Malaysia, berhenti di beberapa pasar raya Giant terpilih di setiap negeri bagi mengedarkan risalah pelanco­ngan Perak.

“Alhamdulillah, saya dibenarkan mengambil cuti tanpa rekod bagi menjayakan misi ini. Sebe­lum ini, saya melakukan misi me­n­­jelajah secara solo mengelilingi Perak sejauh 860 kilometer selama seminggu sempena sam­butan kemerdekaan lalu.

“Sebagai persiapan, saya telah melakukan pengubahsuaian enjin termasuk aksesori luar, penye­rap hentakan serta brek yang dapat mencengkam lebih kuat.

“Motosikal terpakai ini mempunyai 90cc dan ia merupakan buatan tahun 1974. Saya belinya pada tahun 2000 dengan harga RM200,” katanya.

Misi solo motosikal klasik yang dianjur oleh Skuad Muda 1Jabatan Pengangkutan Jalan (1JPJ) Perak dengan kerjasama kerajaan nege­ri itu turut mendapat sokongan beberapa pihak lain termasuk UMNO Taiping, Syarikat Koyoko M P Sdn. Bhd., Jetron dan Tou­rism Perak.

Peminat tegar motosikal klasik sejak 16 tahun lalu itu juga bersyukur kerana hasratnya untuk melakukan sesuatu yang bermakna kepada negeri sendiri, juga mendapat sokongan isteri dan tiga orang anaknya.

“Pada bulan Ogos lalu, ada orang berminat menawarkan RM30,000 untuk membeli motosikal klasik ini yang telah saya ubah suai dengan harga RM17,000, tetapi saya tidak menjualnya,” ujarnya.

Hishammuddin sebelum ini telah menang 46 kali dalam per­tan­dingan motosikal klasik di peringkat kebangsaan.

Sementara itu, Nolee Ashilin berharap segenap rakyat di negeri ini dapat sama-sama membantu memperkasa sektor pelancongan dengan me­m­beri penekanan khususnya dalam soal penjagaan kebersihan dan kesantunan.

“Saya percaya sekiranya kita semua memainkan peranan, tidak mustahil negeri Perak boleh muncul sebagai destinasi utama pelancongan di Malaysia,” katanya.