Apatah lagi, jumlah sawah padi di daerah ini juga semakin berkurangan serta tidak diusahakan lagi, justeru menyebabkan anak muda di kampung, cenderung memilih sektor pekerjaan lain.

Namun, hasil inisiatif diambil oleh Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Manong, Mohamad Zuraimi Razali, program disertai oleh komuniti kampung serta masyarakat setempat itu menjadi meriah dan menarik.

Antara program yang diatur bukanlah melibatkan aktiviti menanam padi, sebaliknya acara bersukan di dalam bendang dengan berkubang di dalam lumpur.

Ia meliputi permainan tarik tali bendang, meniti tiang licin, menangkap itik dan ikan, kandar guni (untuk kanak-kanak) serta mencari barang.

Sebaik sahaja acara bermula, bukan sahaja para peserta bergelumang dalam lumpur tetapi para penonton juga tidak kisah sekiranya pakaian mereka turut kotor dan basah.

Baik tua mahupun muda, ke­semuanya berkubang di dalam bendang dan tidak langsung timbul perasaan takut digigit lintah kerana program seumpama itu julung-julung kalinya diadakan di sini.

Mohamad Zuraimi berkata, beliau tidak menyangka pe­nganjuran program tersebut mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada penduduk setempat.

Sehubungan itu, beliau bercadang untuk menambah baik penganjurannya pada masa akan datang.

“Saya cukup gembira dengan sambutan luar biasa yag diberikan. Program ini secara tidak langsung dapat mengeratkan perhubungan silaturrahim antara penduduk kampung.

“Oleh itu, saya amat menghargai kerjasama diberikan oleh semua pihak dalam menjayakan program ini,” katanya.