Begitu pun, kekurangan fizikal tidak menghalangnya daripada ­menyertai sukan lasak luncur udara ataupun paragliding menerusi kursus khas yang diadakan baru-baru ini.

Walaupun berstatus orang kurang upaya (OKU), kini impian Sharil yang merupakan Pembantu Belia dan Sukan Daerah Pengkalan Hulu dekat sini untuk terbang sudah tercapai.

“Saya mahu melakukan apa sahaja yang orang normal lakukan tetapi halangan dan rintangannya terlalu banyak terutama terbang di udara menggunakan paragliding.

“Namun impian saya sudah tercapai menerusi Kursus Asas Luncur Udara anjuran Pejabat Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman ­dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim dan Biro Paragliding Persekutuan Sukan Udara Malaysia baru-baru ini,” katanya.

Sharil merupakan salah seorang daripada 14 peserta kursus empat hari tiga malam di Bukit Bubus, Kuala Besut, Terengganu baru-baru ini yang merangkumi cara mengendali payung semasa berlepas, terbang dan mendarat.

Menceritakan pengalamannya pertama kali terbang di udara, Sha­ril berkata, dia berjaya mengendalikan paragliding dengan bantuan jurulatih ketika melakukan penerbangan solo.

Menurutnya, ketika itu ­pe­rasaannya bercampur baur antara gembira, takut dan cemas kerana sebelum itu dalam percubaan pertama dia mendarat di atas pokok kerana angin berpusar, namun tidak mengalami kecederaan.

“Insiden itu tidak menghalang saya melakukan percubaan kedua kira-kira 30 minit kemudian dan akhirnya saya berjaya mendarat dengan selamat.

“Saya bersyukur dan gembira serta amat teruja kerana dapat terbang seperti para peluncur lain yang normal.

“Saya akan terus belajar sehingga memperoleh lesen luncur udara dan saya berhasrat menyertai pertandingan luncur udara di dalam dan luar negara,” katanya.

Mengenai kehidupannya yang cacat sejak dilahirkan, Sharil ­mengakui amat bertuah kerana mempunyai ibu dan bapa yang banyak memberikannya semangat untuk mengharungi hidup.

Katanya, dia berpegang kepada pesanan arwah bapanya supaya tidak memencilkan diri walaupun cacat.

“Ibu dan adik beradik saya amat tabah melalui hidup kerana kadang kala ada juga yang tidak mempedulikan hati dan perasaan kami di­sebabkan kekurangan fizikal saya,” katanya.

Menurutnya, ketika bersekolah dia belajar di dalam kelas yang sama seperti pelajar normal, tetapi ditemani ibu bapanya kerana dia terpaksa bertongkat.

Ketika berusia 10 tahun, keingin­annya untuk menyertai ­aktiviti lasak iaitu perkhemahan pengakap terhalang kerana tidak dibenarkan oleh guru kerana keadaan fizikalnya.

“Sejak itu saya mencabar diri untuk membuktikan saya juga mampu melalukan perkara yang orang normal boleh lakukan.

“Akhirnya saya buktikan saya mampu apabila saya mewakili ­Pengakap Malaysia ke Perkhemahan Pengakap Malaysia-Thailand di Betong, Thailand ketika berusia 14 tahun,” katanya.

Katanya, sejak itu dia aktif dalam persatuan belia dan mewa­kili pelbagai acara hingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa malah menerima anugerah sempena sambutan Belia Negara Pe­ringkat negeri iaitu Tokoh Kepimpinan Belia OKU.

“Saya turut terlibat dalam program Kementerian Belia dan Sukan antaranya Pertandingan Kayak Antarabangsa di Lumut, mendaki gunung, perkhemahan, kursus kepimpinan dan karisma,” katanya.