Datuk Bandar, Datuk Zamri Man berkata, sehingga Ogos lalu, pihak­nya menilai tahap kebersihan 915 tandas dan hasil pemeriksaan itu mendapati 10 peratus daripadanya mencapai tahap lima bintang.

“Kebersihan tandas dinilai berasaskan kepada pelbagai kriteria termasuk bekalan air, pencahayaan, pengudaraan, bau, struktur bangunan dan kemudahan tambahan.

“Namun, kita dapati tahap kebersihan tandas di pusat beli-belah tidak memuaskan. Perkara ini mungkin disebabkan ramai pengguna. Oleh itu, pihak pengurusan perlu sentiasa memastikan tandas berada dalam keadaan bersih,” katanya selepas menyer­tai program turun padang bagi me­ninjau kebersihan tandas di sekitar bandar raya ini, di sini semalam.

Program tersebut adalah selari dengan perencanaan kempen Pe­rak Yang Bersih seperti dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada Mac lalu.

Bermula awal tahun sehingga Ogos lalu, MBI mengeluarkan 58 kompaun, 46 notis dan 407 ama­r­an lisan kepada pemilik tandas awam yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Dalam pada itu, Zamri turut mengingatkan pemilik tandas awam khususnya di kawasan tumpuan ramai supaya tidak mengunci kemudahan tersebut kerana ia boleh me­nyusahkan orang ramai.

“Mereka sepatutnya memantau tandas orang kurang upaya (OKU) kerana kemudahan ini hanya boleh digunakan golongan tersebut,” katanya.