Pegawai Perhubungan Awam MBI, Mohd. Syahrizal Azmi berkata, kunjungan di rumah kebajikan tersebut antara pengisian yang dirancang sempena program retreat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bersama media Perak di pulau legenda, Pulau Langkawi.

Katanya, dalam langkah menjalin hubungan baik dan mengeratkan persefahaman dua hala antara kedua-dua pihak, usaha membantu golo­ngan kurang bernasib baik tidak seharusnya dilupakan.
 “Pada hari ini, pihak kami bersama media Perak hadir meluangkan masa meraikan anak-anak di sini bagi menceriakan mereka sekali gus menyam­paikan sumbangan daripada beberapa pihak.

“Ini merupakan kali pertama MBI dan KSKMP menga­dakan program seperti ini di luar Perak dan kita berharap aktiviti kebajikan seumpama ini tidak terhenti setakat ini malah dicadangkan diterus­kan lagi pada masa akan datang sekiranya mendapat kerjasama dan tajaan pelbagai pihak,” katanya.

Sempena program tersebut, sumbangan berupa wang tunai, makanan dan cenderahati turut diberikan kepada kanak-kanak di rumah kebajikan berkenaan.

Selain MBI dan KSKMP, turut menyumbang ialah Pejabat Menteri Besar Perak, Hotel Syeun Ipoh, Tourism Perak dan Hotel Nadias Langkawi.

Sementara itu, Presiden KSKMP, Rosli Mansor Ahmad Razali berkata, aktiviti amal yang dilaksanakan di Rumah Nur Kasih itu merupakan kesi­nambungan kepada program-program kebajikan yang dilaksanakan media Perak melalui kelab berkenaan sebelum ini.

Katanya, kunjungan tersebut yang disifatkan sebagai pembuka tirai yang baik bagi tahun ini akan diteruskan lagi sebagai tanda prihatin pengamal media terhadap golongan yang tidak bernasib baik.

“Kami menerima jemputan daripada MBI untuk adakan retreat media bersama mereka dan melihat ia sebagai peluang yang baik untuk KSKMP menjalankan aktiviti kebajikan bersama PBT itu,” katanya.
Bagi Penyelia Rumah Nur Kasih, Norimah Md. Shariff, kehadiran rombongan itu telah memberi keceriaan kepada anak yatim dan asnaf yang rata-rata berusia antara tujuh hingga sembilan tahun.