Naib Presiden MBAM, Chung Soo Kiong berkata, ia sebagai platform pihaknya dalam me­nyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan khususnya dalam aspek pembangunan dan naik taraf kemudahan prasarana.

Menurutnya, program itu bertujuan menaik taraf kehidupan masyarakat Orang Asli melibatkan dua kampung iaitu Kampung Chuweh Baru dan Kampung Chuweh yang terletak di Hutan Simpan Royal Belum, Tasik Temenggor, di sini.

“Program CSR kali ini merupakan yang ketiga selepas program sama diadakan di Sungai Pisang, Gombak dan di Kuala Selangor.

“Jika sebelum ini program hanya melibatkan kerja-kerja pembersihan, pada ka­li ini tumpuan lebih kepada menyediakan bekalan kemudahan elektrik dan bekalan air yang lebih sempurna,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Program yang diadakan selama tiga hari dua malam itu disertai seramai 88 anggota terdiri daripada ahli persa­tuan kontraktor dan kakitangannya.

Dalam pada itu, Soo Kiong berkata, sebanyak RM150,000 diperuntukkan untuk tujuan program CSR berkenaan yang diperoleh hasil sumbangan dana pelbagai pihak khususnya anggota kerja komuniti MBAM.

“Selain memperbaharui penjana elektrik dengan meletakkan kabel dan memasang paip serta tangki air, MBAM turut menyumbangkan barangan lain seperti buku, pakaian dan mainan kepada masyarakat Orang Asli berkenaan.

“Kami berharap dengan bantuan ini dapat meringankan beban mereka sekali gus dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa seperti orang lain,” katanya.