Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau telah membincangkan perkara tersebut dengan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar baru-baru Ini.

Menurut beliau, dalam perbincangan itu kerajaan negeri memohon Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mempertimbangkan LRA di kawasan itu dibuka semula demi kepentingan penduduk yang terjejas.

“Bagaimana pun kita akan akur terhadap arahan pihak SPAN yang merupakan agensi bertanggungjawab dalam hal ini.

“Pada masa sama, bekalan air bersih kepada penduduk telah dihantar oleh Lembaga Air Perak (LAP) iaitu sebanyak enam lori tangki dan jumlah ini mencukupi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis prapelancaran Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019 di Markas Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Hadir sama Komander Pasukan 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Abdul Razak Mohd. Yusoff yang merupakan pengerusi penganjur kejohanan.

Mengulas lanjut, kata Ahmad Faizal, kerajaan negeri sememangnya mengambil berat berhubung masalah penduduk justeru memastikan proses penghantaran air berjalan lancar.

“Saya telah meminta pihak berkenaan memastikan bekalan air bersih yang dibekalkan mencukupi.

“Sekiranya jumlah lori tangki air yang dihantar tidak mencukupi, jumlah tersebut akan ditambah bagi memberikan perkhidmatan yang baik kepada penduduk,” ujar beliau.

Pada Khamis lepas, LAP mengumumkan telah memberhentikan operasi di LRA Ayer Ganda di Gerik pada 9 April lalu selepas diarahkan oleh SPAN.

Ini ekoran ujian sampel air di LRA Ayer Ganda menunjukkan paras arsenik yang rendah dan di bawah piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu jurang daripada 0.01 miligram untuk setiap liter. - UTUSAN ONLINE