Pengerusi Jawatankuasa Pe­la­­ncongan, Kesenian, Kebuda­ya­an, Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Nolee Ashilin Mo­hammed Radzi berkata, langkah tersebut selari dengan usaha ke­rajaan negeri untuk mencapai sasaran kunjungan 500,000 pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2017.

“Proses rundingan ini akan berterusan melibatkan syarikat penerbangan seperti Malindo Air dan Lion Air. Laluan yang disasar bukan hanya Medan tetapi juga Jakarta. Penerbangan terus ke China turut sedang diusahakan oleh syarikat swasta.

“Kita akan memberikan insentif sama ada melalui Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) atau kerajaan sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan International Waiters Race kali kelima yang diadakan di River Walk, di sini hari ini.

Pertandingan yang memperta­ruhkan cabaran membawa du­lang berisi gelas air dan botol minuman sejauh 1.2 kilometer dengan menggunakan satu tangan itu disertai oleh 300 orang terma­suk peserta antarabangsa dari Hong Kong, Vietnam dan Thailand.

Kebanyakan peserta merupakan sebahagian daripada pemain industri pelancongan yang ber­khidmat sebagai pelayan dalam bidang perhotelan dan restoran.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin berkata, bilangan pelancong asing dari pelbagai negara yang melawat bandar raya ini juga telah meningkat hasil daripada familiarization trip yang dianjurkan.

Beliau berkata, kunjungan itu meliputi pelancong dari negara India, China serta Jepun sementara warga Singapura kekal mendominasi bilangan tertinggi ke negeri ini.